Trump puji Korea Utara tangguh serangan ke atas Guam


Donald Trump mengejutkan dunia minggu lalu selepas memberi amaran terhadap Korea Utara akan berdepan “api dan kemusnahan”.– Gambar EPA, 16 Ogos, 2017.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump memuji pemimpin Korea Utara kerana menangguhkan rancangan untuk melancarkan peluru berpandu ke Guam.

“Kim Jong-Un dari Korea Utara membuat keputusan bijak dan alasan yang baik. Alternatif itu akan jadi malapetaka dan tidak akan diterima!” kata Trump melalui akaun Twitter miliknya.

Trump mengejutkan dunia minggu lalu selepas memberi amaran terhadap Korea Utara akan berdepan “api dan kemusnahan” sekiranya meneruskan ancaman terhadap AS atau sekutunya dengan program peluru berpandu balistik. Komen presiden AS itu dikatakan akan menaikkan prospek serangan nuklear AS ke atas Korea Utara.

Pemimpin Korea Utara yang sukar dijangka itu pada Selasa diberi talimat oleh pasukan peluru berpandunya berhubung rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Guam, lapor agensi berita KCNA.

Namun selepas itu, menurut KCNA, dia memutuskan untuk menangguhkan operasi dan hanya memerhati tindak balas AS dan tidak akan bertindak selagi AS tidak mengambil “tindakan melulu”.

Setiausaha Negara AS Rex Tillerson berkata selepas Kim mencadangkan ancaman itu Washington sedia untuk rundingan.

Namun katanya terpulang kepada Kim bila rundingan itu akan dimulakan. – AFP, 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen