.jpg)
SAYA rasa ahli PKR dan rakyat Malaysia sudah begitu matang dalam politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sementelah itu, saya percaya analisis yang begitu mendalam tidak diperlukan tentang situasi pemilihan PKR hari ini.
Cukup jika saya kemukakan lapan persoalan mendasar berkaitan demokrasi kepada PKR dan rakyat Malaysia berkaitan pemilihan parti yang baru selesai ini, dan menuntut jawapan dari kepimpinan berkaitan.
Persoalan ini penting untuk dijawab memandangkan PKR bakal memimpin negara sebagai tunggak utama politik negara selepas berakhirnya zaman Dr Mahathir Mohamad dua tahun lagi.
Inikah wajah demokrasi Malaysia dua tahun yang akan datang?
1. Adakah pihak yang menang boleh menerima kejayaan mereka dengan tiga empat kawasan yang diragui pengundi dan proses pemilihannya? Jika pun kalah, adakah ini simbol demokrasi yang tepat?
2. Adakah Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail akan membiarkan keraguan di beberapa kawasan pemilihan berakhir tanpa siasatan dan laporan bebas pihak profesional? Adakah keraguan tersebut satu gambaran kepada satu proses demokrasi yang baik?
3. Apakah laporan juruaudit profesional Baker Tilly untuk audit e-undi dan pemilihan PKR akan dibuka untuk tatapan umum? Apakah penyelesaian kemelut pemilihan PKR?
4. Apakah isu-isu berkaitan kawasan yang melakukan pemilihan semula dan bermasalah termasuk dalam skop auditor bebas Baker Tilly?
5. Adakah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengeluarkan laporan siasatan, penemuan dan kesimpulan laporan kawasan bermasalah ini untuk tatapan umum atau ahli PKR terpaksa menerima sahaja keputusan pengerusi JPP dan beberapa kepimpinan PKR tanpa ketelusan? Adakah ini simbol demokrasi yang baik?
6. Apa komen dan analisis kumpulan pendesak demokrasi seperti Bersih, C4, GBM dan lain-lain berkenaan pemilihan PKR?
Mereka seperti sunyi sepi walaupun PKR adalah parti politik terbesar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)? Apakah gambaran senario masa depan demokrasi di Malaysia?
Adakah hal PKR terlalu sensitif kepada Bersih dan badan-badan yang sewaktu dengannya atau kerana kepimpinan badan-badan ini rapat dengan kepimpinan PKR sekarang?
7. Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) boleh memberi keutamaan dan memberi pendirian yang bebas tentang kemelut yang berlaku dalam PKR sebelum keputusan dikeluarkan?
Ini kerana keputusan PKR akan menentukan masa depan kepimpinan politik negara dan masa depan demokrasi.
Adakah benar badan-badan ini boleh memainkan peranan yang bebas atau hanya satu wayang mengikut siapa yang akan memerintah sama ada Barisan Nasional atau PH? Jika tiada kes, maka penerangan yang jelas kepada rakyat harus diberikan.
8. Adakah pemilihan PKR sejak dua bulan lalu menggambarkan proses yang baik untuk demokrasi Malaysia? – 16 November, 2018.
* Anuar Hamid, ahli PKR Pulau Pinang dan aktivis reformasi sejak 1998.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen