SKIM FundMyHome hanya menguntungkan pelabur dan pemaju perumahan, dan bukannya pembeli rumah pertama, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, dengan membayar 20% daripada harga rumah di bawah skim kelolaan EdgeProp Sdn Bhd milik taikun Tong Kooi Ong itu, pembeli hanya boleh mendudukinya untuk lima tahun dan selepas itu perlu buat keputusan membeli atau menjualnya mengikut harga pasaran semasa.
“Pembeli tidak akan dapat memiliki rumah itu kerana 80% daripada rumah itu akan dimiliki oleh pelabur-pelabur yang kita pun tidak tahu siapa dia.
“FundMyHome is not my home (bukan rumah saya). 80% bukan rumah pembeli, rumah orang lain,” katanya sinis dalam “Wacana U3.0: Bajet Inisiatif Ekonomi Rakyat” anjuran Penerangan Umno Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 mengumumkan kerajaan akan membenarkan platform pendanaan awam hartanah (property crowdfunding) yang dipacu oleh sektor swasta.
Platform ini, kata Lim, akan jadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending).
Menurut ahli Parlimen Bagan itu, platform pertama dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2019, setelah semua kelulusan diperolehi daripada Suruhanjaya Sekuriti.
Skim FundMyHome kemudiannya dilancarkan di Semenyih oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dua hari selepas pengumumannya, tanpa kerangka undang-undang daripada Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut Khairy, skim ini juga menyebabkan pembeli rumah pertama berada dalam keadaan berisiko kerana terpaksa menanggung kerugian sekiranya hartanah tersebut mengalami susut nilai.
“Selepas lima tahun kalau kita hendak beli, sudah pasti harga lebih tinggi. Kalau harga jatuh pembeli yang tanggung kerugian dan bukan pelabur-pelabur.
“Kalau harga naik, pelabur itu dapat keuntungan, bukan pembeli. Kalau hendak jual, pembeli yang kena bayar cukai jualan.
“Jadi ini skim untuk pemaju, orang kaya yang hendak melabur, bukan untuk orang miskin, berpendapatan rendah dan anak muda,” tegasnya.
Khairy juga meminta kerajaan memahami isu utama pembeli rumah pertama yang majoritinya tidak mampu membayar deposit 10%, selain harga hartanah yang tinggi.
“Orang muda ini hendak bayar deposit 10% pun mereka tidak ada, inikan pula hendak bayar 20%. Mana mereka hendak cari duit?
“Dulu kita buat skim Rumah Pertamaku di bawah kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan melalui Cagarmas, kita jamin pinjaman 100%. Kita bina rumah PPR, kita buat program ‘Rent to Own’. Itu cara kita bantu orang muda memiliki rumah,” ujarnya.
Skim FundMyHome ini juga dilihat mirip dengan Skim Berjajaran Kepentingan Pemaju (DIBS) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini pada 2009 sebelum dihentikan pada 2014 kerana kedua-duanya melibatkan “pertaruhan” harga pasaran hartanah masa depan.
Melalui DIBS, pembeli tidak perlu membayar faedah bulanan kepada pihak bank sehingga rumah itu siap atau dalam tempoh yang diberikan yang mana faedah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
Harga rumah seperti kondominium, apartmen dan flat ketika itu dijual dengan harga yang lebih tinggi kerana pemaju akan memasukkan kadar faedah harga rumah yang dijual dan memberi kesan kepada nilai hartanah.
Sistem dengan tujuan yang sama iaitu membantu pemilikan rumah pertama itu akhirnya dihentikan kerana menjadi antara punca utama kenaikan harga hartanah mendadak dan kesannya dirasai sehingga kini. – 16 November, 2018.
Komen