KJ mahu pemimpin Umno ‘hasut’ rakyat tentang Belanjawan 2019


SM Amin

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menggesa semua ahli Parlimen pembangkang turun padang memberi penerangan kepada rakyat mengenai Belanjawan 2019 yang didakwa tidak adil kepada golongan memerlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

AHLI Parlimen pembangkang mesti turun padang “menghasut” rakyat tentang Belanjawan 2019 dan tidak hanya sibuk membahaskannya di Dewan Rakyat, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, perbahasan ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat sudah cukup baik dengan fakta yang jelas namun mesej yang sama perlu dibawa ke lapangan, di kawasan Parlimen masing-masing.

Tiada gunanya ahli Parlimen Umno berhujah dengan baik di Parlimen tetapi gagal menyampaikan mesej mereka kepada kumpulan yang menerima kesan dengan Belanjawan 2019, yang tidak akan melihat Umno sebagai pejuang mereka.

“Hantar ahli Parlimen dan pemimpin kita untuk bersama dengan setiap kumpulan yang terkesan dengan bajet yang tidak berapa bagus ini dan kita menghasut rakyat ke arah kebaikan sebab kita hendak bantu mereka,” katanya yang juga ahli Parlimen Rembau dalam forum anjuran parti itu, malam tadi.

“(Ahli Parlimen Lenggong) Shamsul Anuar sebagai bekas pengerusi PTPTN mungkin boleh pergi ke kampus universiti mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar universiti, jelaskan kepada mereka, sekarang ini PTPTN macam mana, dulu macam mana.

“(Ahli-ahli Parlimen) Balik kawasan masing-masing. Jumpa petani, nelayan di kawasan. Buat piket depan pejabat pertanian, contohnya…‘kami tuntut duit musim tengkujuh yang tidak diberi’. Barulah ada strategi,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam “Wacana U3.0: Bajet Inisiatif Ekonomi Rakyat” anjuran Penerangan Umno Malaysia di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Belanjawan kerajaan Pakatan Harapan dikritik oleh pembangkang kerana tidak meneruskan peruntukan kewangan yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kepada golongan pesawah, petani, peladang dan nelayan.

Sektor pertanian secara keseluruhan hanya memperuntukkan RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan, RM18 juta untuk automasi industri agromakanan; dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan serta latihan industri tani.

Walaupun Felda diperuntukkan RM295 juta, ia diberikan bagi menaik taraf jalan, projek sistem bekalan air dan memasang lampu.

Berbeza dengan Belanjawan 2018, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

Peruntukan Belanjawan 2019 itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar memberi perhatian kepada nasib golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil.

Dalam ucapan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat minggu ini, Anwar meminta kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada golongan miskin khususnya nelayan, petani dan peladang bagi membantu meringankan beban sara hidup.

Khairy berkata Umno menolak Belanjawan 2019 kerana ia bukan belanjawan pro rakyat apabila  biasiswa, bantuan untuk golongan B40, peruntukan untuk kawasan luar bandar, petani, nelayan dan pekebun kecil semuanya dipotong.

Khairy membahaskan belanjawan itu Isnin lepas, mewakili ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi. Ketua pembangkang secara konvensyen diberi peluang sebagai pembahas pertama mengupas cadangan belanjawan kerajaan.

“Waktu saya bahas ada rakan BN menyatakan ini adalah ‘Belanjawan Damansara’ sebab Damansara ini kawasan elit di Kuala Lumpur… belanjawan untuk orang bandar.

“Yang kedua, dinamakan Belanjawan Damansara kerana ia direka oleh menteri kewangan yang sebenar iaitu Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, sahabat saya juga.

“Cakaplah apa sahaja terhadap BN dan bekas perdana menteri kita Najib Razak. Saya ingat belanjawan di bawah Najib, setiap satu kumpulan segmen masyarakat terbela,” ujarnya.

Perbahasan Belanjawan 2019 akan disambung di Dewan Rakyat minggu depan. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen