POLIS dengan sokongan tentera menggempur kawasan pinggir bandar di Rio de Janeiro pada Rabu dalam operasi terbaru untuk mematahkan jenayah yang semakin meningkat di bandar raya itu, kata pihak berkuasa.
Operasi bermula jam 5.00 pagi di Niteroi, merentasi selat Guanabara dari Rio, yang menjadi hos kepada sukan Olimpik setahun lalu, namun kini berdepan dengan gelombang jenayah.
“Pasukan polis dan polis tentera, dengan sokongan pasukan tentera, melancarkan operasi keselataman awam pada subuh,” kata pejabat keselamatan negeri Rio dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata, pasukan tentera dipanggil pada bulan lalu oleh Presiden Michel Temer sebagai sokongan kepada pasukan polis, bertanggungjawab terhadap kepungan di beberapa kawasan komuniti serta ditempatkan di lokasi strategik.
Awal bulan ini, operasi yang sama dijalankan di utara Rio bagi menumpaskan kumpulan penjenayah yang bertanggungjawab melakukan rompakan trak.
Rio merupakan bandar Amerika Selatan pertama menganjurkan sukan Olimpik dan walaupun acara itu berlangsung dengan lancar, skandal penyelewengan hampir menjejaskan bajet negeri dan kadar jenayah turut meningkat.
Pada awal tahun ini, Rio mencatatkan sebanyak 3,457 kes pembunuhan, kadar keganasan paling tinggi sejak 2009 dan lebih 15% berbanding waktu yang sama pada 2016. Setakat ini 97 angota polis dibunuh di negeri itu. – AFP, 16 Ogos, 2017.
Komen