.jpg)
PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) menyambut baik kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bahawa beliau akan mempercepatkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.
Terdapat beberapa masalah yang perlu diperbaiki dalam sektor perkhidmatan air. Kami telah menyenaraikan isu-isu utama yang perlu diselesaikan untuk mengatasi masalah-masalah yang sudah mula menjadi penghalang kepada perkembangan industri perkhidmatan air.
Apabila kita bergerak ke penghujung Rancangan Malaysia ke-11 (2016 – 2020), kita dapat melihat bahawa tahap NRW kebangsaan kita masih sekitar 30% sejak Rancangan Malaysia ke-8. NRW yang tinggi adalah kehilangan pendapatan dan ketidakupayaan untuk memenuhi permintaan air terawat yang lebih banyak. Kelewatan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara juga merupakan faktor penyumbang kepada tahap NRW yang tinggi.
Sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang menetapkan paras NRW kebangsaan pada 25% menjelang tahun 2020 tidak akan tercapai kerana tiada usaha penuh dilakukan untuk menangani perkara serius ini sejak penubuhan Span pada tahun 2008.
Tambahan pula, projek NRW telah diletakkan di bawah kuasa agensi yang bertindih tugas dengan Span iaitu Jabatan Bekalan Air (JBA). Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan yang diusahakan oleh Awer mesti diaktifkan semula untuk memastikan air terawat tidak terbazir akibat daripada pengurusan NRW yang tidak cekap. Setiap peratusan penurunan NRW adalah ketersediaan air terawat untuk pengguna.
SPAN ditubuhkan kerana kegagalan JBA dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) untuk melaksanakan fungsinya. Agensi-agensi ini sepatutnya ditutup sebaik sahaja SPAN beroperasi sepenuhnya pada tahun 2008. JPP mempunyai fungsi bertindih dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Span dan Indah Water Konsortium. JBA mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, Span dan syarikat air.
Tidak boleh ada sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi PAAB, Span, Indah Water Konsortium atau syarikat air untuk membenarkan kewujudan JBA dan JPP. Kedua-dua JBA dan JPP mesti ditutup dan kakitangannya boleh diserap ke Span, PAAB, Indah Water Konsortium, syarikat air atau kekosongan jawatan agensi kerajaan yang lain.
Audit penuh terhadap projek-projek di bawah JPP dan JBA mesti dijalankan sebelum ia ditutup. Penutupan agensi yang bertindih fungsi akan mengurangkan perbelanjaan operasi kerajaan dan ini adalah sehaluan dengan dasar Kerajaan Persekutuan.
Terdapat dakwaan mengenai penyelewengan Dana SCC. Penggunaan dana ini di wilayah yang tidak dikawalselia oleh Span adalah salah satu contoh. Projek yang dianugerahkan di bawah dana ini mesti dilakukan secara telus untuk memenuhi keperluan perbelanjaan modal pembangunan rangkaian pembetungan. Kami menggesa Ketua Audit Negara untuk mengaudit Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan dan menerbitkan hasil audit tersebut.
Sama seperti pemegang lesen perkhidmatan air, PAAB dikawalselia oleh Span. Malangnya, ini tidak benar-benar berlaku. Apabila tender projek dijalankan, wakil negeri mesti berada dalam jawatankuasa pemilihan tender. Ini penting untuk memastikan kebimbangan kerajaan negeri dapat ditangani. Apabila projek siap, kerajaan negeri yang akan membayar yuran pajakan (leasing fee) melalui syarikat airnya.
Di samping itu, tempoh pajakan mesti berasaskan kepada tiga jenis, jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang. Span juga mesti mengaudit operasi PAAB untuk menentukan kos kepada tarif melalui yuran pajakan. Span mesti membangunkan dan mengguna kaedah penanda aras untuk memastikan kelestarian kewangan PAAB dan pemegang lesen perkhidmatan air dilindungi untuk memastikan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara berjaya.
Kami menggesa menteri untuk melucutkan pelantikan pakar bukan bidang sebagai Ahli Suruhanjaya Span. Pada masa ini, sektor perkhidmatan air dari Sabah dan Sarawak tidak dikawalselia oleh Span. Oleh itu, wakil dari Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya menjadi pesuruhjaya Span.
Peraturan perlu juga diperketatkan untuk mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa atau kedudukan oleh pesuruhjaya Span untuk kepentingan diri daripada pemegang lesen, pemilik produk dan pemaju yang berkaitan dengan sektor perkhidmatan air.
Untuk menjadikan industri perkhidmatan air lebih lestari, IWK mesti dipecahkan menjadi entiti berasaskan negeri dan digabungkan dengan syarikat air di negeri masing-masing. Pada masa ini, Span dan IWK enggan melaksanakan bahagian terakhir Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara ini.
Tanpa melengkapkan langkah terakhir ini, industri perkhidmatan air akan gagal. Kelewatan selanjutnya juga akan meningkatkan kos penstrukturan semula dan melembabkan peningkatan infrastruktur serta perkhidmatan industri perkhidmatan air.
Penetapan tarif oleh Span direka bentuk untuk menjadi telus bagi menunjukkan kepada masyarakat umum dan komuniti perniagaan bagaimana kos perkhidmatan air mempengaruhi tarif air. Malangnya, Span telah menggunakan kaedah “tambahan kepada kos” atau cost plus method (cara menetapkan tarif yang malas) dalam penetapan tarif.
Kaedah sedemikian akan menyalurkan lebih banyak kos kepada pengguna dan tidak menggalakkan kecekapan sektor perkhidmatan air. Penetapan tarif perlu berdasarkan audit kos dan penanda aras. Terdapat juga campurtangan daripada pegawai kementerian dalam operasi Span sebelum ini. Kami menggesa menteri KATS menangani isu ini dengan pantas.
Pegawai yang tidak kompeten mesti dikeluarkan untuk memastikan bekalan air terawat dan perkhidmatan pembetungan tidak terjejas. Disebabkan penglibatan dalam operasi Span semenjak penubuhannya, ia adalah menyedihkan untuk melihat Span menyimpang dari peranan asalnya.
Model Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dan model WSIA akan membangunkan Malaysia sebagai contoh terbaik dalam perkhidmatan air dengan tarif yang berpatutan di mata dunia. Malangnya, ketidakcekapan melanda sektor ini dan menafikan tempat yang sah untuk Malaysia dalam sektor ini. Kami menggesa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli untuk merombak Span dan menyelesaikan masalah ketidakcekapan Span. Air adalah kehidupan. – 15 November, 2018
* S. Piarapakaran merupakan Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen