Hak autonomi Sarawak tidak akan dirunding, kata KM Sarawak


Desmond Davidson

Sarawak Chief Minister Abang Johari Openg Abang Johari berkata ia bukan reaksi yang mahu menegangkan keadaan sebaliknya ia adalah "emosi mendalam yang terbina sepanjang 55 tahun lalu," – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2018.

AUTONOMI imigresen SARAWAK dan hak-haknya terhadap kuasa percukaian dan sumber semula jadinya tidak akan dibentangkan untuk dibincangkan oleh jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.

Selain itu, perlindungan sempadan negara yang meluas ke kawasan Sarawak, dan haknya untuk merumuskan pelan pembangunan dan mengisytiharkan kawasan pembangunan sendiri di bawah Perkara 95E Perlembagaan Persekutuan juga tidak akan dirundingkan.

“Perkara-perkara ini tidak boleh dirunding,” kata Abang Johari dalam sidang Dewan Undangan Negeri ketika beliau bercakap mengenai hak Sarawak dan kepentingan strategiknya.

“Walaupun menyokong semakan MA63, kerajaan negeri akan memastikan bahawa hak-hak istimewa Sarawak, yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan mengikut MA63, tidak boleh dijejaskan dengan apa cara sekali pun.”

Ketua Menteri itu menyatakan jaminan tersebut dalam persidangan DUN Sarawak bahawa beliau dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerajaan “akan mempertahankan, melindungi, dan menuntut semula hak-hak negeri seperti yang dipersetujui dalam MA63 dan instrumen perlembagaan yang dilampirkan bersamanya”.

“Kami akan pastikan bahawa Sarawak terus memiliki tahap autonomi eksekutif, perundangan, pentadbiran, dan kewangan yang akan memenuhi prinsip bahawa kita, rakyat Sarawak, dapat mentadbir diri kita supaya Sarawak menjadi kuat, rakan kongsi baik dan progresif bersama kerajaan persekutuan,” kata Abang Johari.

Mengenai tuntutan autonomi negeri, Abang Johari berkata ia bukan reaksi yang mahu menegangkan keadaan sebaliknya ia adalah “emosi mendalam yang terbina sepanjang 55 tahun lalu, kerana penduduk Sarawak mula melihat perbezaan besar dalam pembangunan Sarawak berbanding dengan bahagian lain Malaysia”.

Ketidaksamaan itu, katanya, terhasil berikutan dasar negara yang berpusat di Putrajaya “yang meletakkan Sarawak sebagai terasing dari arus perdana politik dan ekonomi Malaysia, sedangkan sumber semula jadi kita diambil”.

“Kami tidak berasa gembira apabila Parlimen boleh meluluskan undang-undang yang menghakis kuasa dan hak-hak Sarawak.

“Kami tidak puas hati bahawa kerajaan persekutuan gagal dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya dalam infrastruktur asas, pendidikan, dan penjagaan kesihatan awam.

“Ini adalah pelanggaran terhadap hak kita di Sarawak dan peruntukan yang tidak mencukupi untuk keperluan rakyat negeri yang memaksa kerajaan ini mengambil tindakan.”

Abang Johari berkata sedemikian bagi menentang apa-apa bentuk “sabotaj politik dan pentadbiran oleh Putrajaya”, kerana ia gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan kepada Sarawak dan menggunakan semua jenis helah pentadbiran bagi menangguhkan pembayaran dana.

Ekoran itu Sarawak tidak mempunyai pilihan selain mencabar mereka supaya melakukan perkara yang betul, dan kemudian melakukan “apa yang kita fikirkan adil dan sesuai dengan kita”.

Beliau menegaskan bahawa dalam tuntutan autonominya, Sarawak tidak mahu meninggalkan Malaysia.

“Sarawak akan terus wujud bersama dan bekerjasama dengan Malaya dan Sabah di bawah payung Malaysia.

“Kami gembira bersama Malaysia. Apa yang kami tidak suka adalah sifat hubungan antara pusat dan negeri yang kami rasa telah menyimpang dari semangat asal persetujuan untuk membentuk Malaysia seperti yang terkandung dalam MA63.

“Kami ingin dialog dan resolusi positif yang sebenar mengenai ketidakpuasan kami,” katanya lagi. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen