Sierra Leone rayu bantuan kemanusiaan akibat bencana


Hospital Connaught Regent menempatkan mayat mangsa bencana banjir yang melanda kawasan tengah Regent. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2017.

PRESIDEN Sierra Leone merayu bantuan daripada pihak antarabangsa berikutan bencana banjir yang mengakibatkan lebih 300 orang mati manakala ratusan lagi masih hilang.

Presiden Ernest Bai Koroma dalam linangan air mata berkata, kemusnahan akibat bencana itu di luar kemampuan kerajaan untuk mengatasinya, katanya ketika melawat Regent yang merupakan kawasan paling teruk terjejas.

“Seluruh komuniti kawasan ini terhapus akibat banjir, kita perlukan bantuan segera,” kata Koroma pada Selasa.

Ketika bandar itu mula mengebumikan mayat mangsa, kerajaan negara luar kini giat menyalurkan bantuan, Israel menyalurkan bantuan bekalan air bersih, perubatan, selimut dan beberapa keperluan lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata pihaknya kini sedang menilai keperluan bantuan kemanusiaan yang diperlukan negara itu dan pelan kontigensi sedang dilaksanakan bagi mengatasi penularan wabak bawaan air seperti cirit birit, kepialu dan kolera, kata jurucakapnya Stephane Dujarric.

Beliau berkata Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi mengeluarkan $150,000 dalam dana kecemasan.

Hujan lebat yang mengalir di kawasan tanah tinggi menyebabkan tanah runtuh di Regent menimbus rumah setinggi tiga dan empat tingkat. Kebanyakannya didirikan secara haram.

Koroma turut mengadakan lawatan ke Hospital Connought Regent dan tengah Morgue, yang menempatkan mayat mangsa bencana itu.

Kerajaan negara Sierra Leone, yang merupakan antara sebuah negara paling miskin di dunia, menjanjikan bantuan kepada lebih 3,000 penduduk yang hilang tempat tinggal dan membuka pusat kecemasan bencana di tengah Regent.

Menurut Palang Merah, 600 orang lagi masih hilang.

Pegawai Palang Merah Nasir Khan memberitahu AFP, angka kematian pada petang Selasa adalah 300, namun terdapat laporan lain mengatakan jumlah kematian akibat bencana itu adalah 400 orang.

Sementara itu pegawai majlis bandaraya Freetown, Sulaiman Zaino berkata 150 pengebumian diadakan pada petang Selasa dan kesemua mangsa disemadikan berdekatan tanah perkuburan mangsa krisis Ebola dekat Waterloo.

“Kami sudah mula mengebumikan mayat yang tidak sempurna dan mereput. Kesemua mayat akan diberikan pengebumian mengikut agama Islam dan Kristian,” kata Parker.  – AFP, 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen