HUKUMAN mati akan diganti dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol bagi kes-kes jenayah kejam, kata Liew Vui Keong.
“Saya ingin beritahu pembunuh sekelian bahawa pemansuhan hukuman mati bukan bermakna mereka akan bebas. Mereka yang melakukan jenayah kejam seperti pembunuhan akan dipenjara seumur hidup tanpa parol,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Shah Alam hari ini.
Tiada peluang bagi pesalah-pesalah ini dibebaskan, kata Liew.
Liew mengulas kepada seruan terhadap Putrajaya supaya mengekalkan hukuman mati berikutan kematian seorang bayi berusia sembilan bulan di Selangor baru-baru ini.
Beliau bersama-sama bekas hakim Mahkamah Rayuan yang juga Perusuhjaya Suhakam Mah Weng Kwai hari ini berucap di hadapan pelajar undang-undang UiTM dalam satu sesi townhall berkenaan pemansuhan hukuman mati.
Semasa sesi itu berlangsung, kebanyakan pelajar mahu kerajaan mengekalkan hukuman mati, terutamanya bagi kes pembunuhan.
Pada Selasa, Liew berkata Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati bagi 32 kesalahan di bawah lapan undang-undang, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan (pembunuhan).
Turut termasuk ialah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), Akta Senjata Api, Akta Penculikan, Akta Industri Perkhidmatan Air, Akta Perdagangan Strategik dan Akta Dadah Berbahaya.
Selepas sesi townhall itu, Liew menjelaskan bahawa pesalah yang menerima hukuman mati akan ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup sehingga 30 tahun.
“Hukuman akan bermula selepas Lembaga Pengampunan mengkaji semula kes-kes mereka iaitu yang mana patut diberi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol dan yang mana satu patut diberi hukuman penjara 30 tahun,” katanya.
Liew menjelaskan terdapat dua jenis hukuman penjara seumur hidup di dalam pindaan tersebut.
“Satu ialah hukuman penjara seumur hidup tanpa parol manakala satu lagi penjara maksimum 30 tahun. Yang tanpa parol itu ialah bagi kesalahan jenayah kejam” katanya. – 14 November, 2018.
Komen