Siasatan PAC mengenai kehilangan bayaran balik GST selesai


Kamles Kumar

Pengerusi PAC Ronald Kiandee akan mengadakan mesyuarat sebelum membentangkan laporan siasatan itu kepada Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2018.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Awam (PAC) selesai menyiapkan siasatan mengenai bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion yang tertangguh oleh kerajaan sebelum ini kepada perniagaan di seluruh negara.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dipanggil hari ini, adalah antara tujuh saksi yang memberikan keterangan kepada jawatankuasa siasatan.

Antara saksi lain yang dipanggil adalah bekas perdana menteri Najib Razak yang juga menteri kewangan sebelum ini.

Ronald berkata PAC akan mengadakan mesyuarat sebelum membentangkan laporan siasatan itu kepada Parlimen pada akhir persidangan kali ini atau awal tahun depan.

“Kami akan adakan mesyuarat lain untuk menyediakan laporan akhir sebelum membentangkannya di parlimen,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Beluran itu juga tidak mahu tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai bayaran balik yang hilang itu dan memberitahu mahu menunggu laporan penuh.

“Kami perlu duduk dan meneliti perincian berdasarkan keterangan dan dokumen yang diberikan kepada kami sejak bulan lalu,” kata Ronald.

Sementara itu, Lim berkata PAC tidak mengandaikan bahawa bayaran balik itu masih di dalam tabung kementerian kewangan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau terpaksa menjelaskan kepada mereka butiran dan berharap mereka faham keterangan yang diberikan beliau.

“Saya fikir PAC memahami penjelasan yang diberikan. Mereka juga kurang faham mengenai hal itu dan membuatkan saya agak terkejut.

“Mereka seperti percaya bahawa RM19.4 bilion masih ada. Kami beritahu mereka bahawa ia tidak ada dan saya rasa perkara ini jelas jumlah tersebut tidak ada,” kata Lim.

Pada bulan Ogos, Lim memberitahu Parlimen bahawa terdapat kekurangan dalam akaun pembayaran balik GST.

Setiausaha Agung DAP itu kemudian berkata wang tersebut “telah dirompak pentadbiran sebelumnya”.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat perkara itu.

Kemudian, dalam satu kenyataan, Lim berkata wang yang hilang itu menjejaskan 121,429 syarikat dan individu, yang belum menerima bayaran balik mereka sejak 2015. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen