Jangan mainkan MA63


KEMENANGAN Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sememangnya memberi kesan yang signifikan kepada warga Sabah kerana ia bukan sahaja merealisasikan harapan rakyat yang mahu menukar kerajaan bahkan status ‘rakan setaraf’ Sabah Sarawak juga telah dikembalikan pada 16 September 2018.

Ia memberi harapan kepada warga Sabah bahawa pengorbanan mereka memperjuangkan hak-hak Sabah kini seakan-akan membuahkan hasil. Pengorbanan yang bagaimana? Pengorbanan berupa keberanian menukar kerajaan negeri yang didorong oleh slogan ‘Sabah Ubah’.

Sorotan sejarah berkenaan perjuangan mengembalikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak bermula pada PRU14 atau pada tahun sebelumnya kerana ia telah diperjuangkan sejak 1980-an oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ketika itu memegang tampuk pentadbiran negeri Sabah.

Namun ia gagal. Kegagalan itu berpunca daripada hubungan keruh kerajaan negeri - Persekutuan, seterusnya mengakibatkan PBS tumbang pada 1994 dan digantikan dengan Barisan Nasional (BN). Ketika itu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri Malaysia yang keempat.

MA63 berhenti di situ. Ia hanya kembali kedengaran pada 2000-an melalui aktiviti beberapa pertubuhan yang mahu meneruskan agenda memperjuangkan MA63. Melihat kepada sambutan menggalakkan, para politikus mengambil kesempatan dengan menjadikan MA63 sebagai alat kempen dalam beberapa siri pilihan raya sehinggalah ke PRU14.

Kini, rakyat memberi mandat kepada Warisan - Pakatan Harapan (PH) untuk membawa agenda MA63 di peringkat Persekutuan yang sekali lagi di bawah pimpinan Dr Mahathir dan hubungan antara kedua-dua kerajaan pula tidak perlu dipersoalkan kerana PH dan Warisan sudah berlayar di atas kapal yang sama.

Maka tidak ada alasan lagi untuk MA63 dikembalikan ke kedudukan asalnya. Cukuplah rakyat disajikan dengan bermacam keputusan pusingan-U yang dibuat oleh kerajaan PH sejak Mei 2018. Warga Sabah tidak mahu sebuah lagi pusingan-U dalam isu MA63 berlaku. 

Sebaiknya Warisan memanfaatkan kesempatan yang ada untuk memenuhi hasrat tersebut atau Warisan hanya akan menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

Ingatlah, usah diduga keberanian rakyat yang menempatkan Warisan di puncak pemerintahan hari ini dan usah diperkecil pakatan pembangkang yang mengintai-intai peluang menyerang Warisan kerana takut-takut ia memberi padah yang besar di kemudian hari.  – 14 November, 2018.

* Firdani Adam adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen