Baru 100 hari, populariti presiden Perancis mula merosot


Populariti Presiden Perancis Emmanuel Macron menunjukkan penurunan drastik dan mencapai tahap paling rendah dalam sejarah. – Gambar AFP, 16 Ogos, 2017.

GENAP 100 hari menerajui pentadbiran, populariti Presiden Perancis Emmanuel Macron menunjukkan penurunan drastik dan mencapai tahap paling rendah dalam sejarah, lapor agensi berita China Xinhua.

Menerusi tinjauan Ifop baru-baru ini, populariti Macron jatuh sebanyak 36% berbanding 66.10% yang diterimanya semasa pilihan raya umum 8 Mei lepas.

Undian diterima beliau juga lebih rendah berbanding presiden sebelum ini Francois Hollande.

Penurunan dikaitkan dengan langkah penjimatan dalam belanjawan 2017, peletakan jawatan beberapa menteri dan pelaksanaan projek yang dilihat rakyat hanya untuk kemajuan politik semata-mata.

Antara langkah diperkenalkan Macron ialah pengurangan subsidi perumahan sebanyak 5 euro sebulan bermula Oktober dan menerima kritikan hebat.

Pihak pembangkang berpendapat langkah itu memberi lebih tekanan kepada golongan miskin.

Selain itu, skandal melibatkan beberapa menteri kerajaan turut menggugat imej Macron.

Menteri Kesatuan Wilayah Richard Ferrand yang dianggap rakan paling setia kepada Macron, dituduh menyalahgunakan kedudukan dengan membantu isterinya dalam pasaran hartanah dan mengupah anaknya sebagai rakan usaha sama {arlimen.

Ferrand akhirnya meletakkan jawatan diikuti beberapa lagi rakannya seperti Menteri Pertahanan Sylvie Goulard, Menteri Hal Ehwal Eropah Marielle de Sarnez dan Menteri Keadilan Francois Bayrou.

Peletakan jawatan itu berlaku pada ketika kerajaan sedang dalam usaha melaksanakan janji semasa kempen pilihan raya iaitu politik yang bermoral. – Bernama, 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen