ENAM bulan selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor, pengundi Pakatan Harapan (PH) di negeri kelahiran Umno itu mula tertanya-tanya, bersinar lagikah harapan yang mereka sangkutkan pada PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Selepas PH mengambil alih pentadbiran negeri, ada antara mereka yang kecewa dengan prestasi kerajaan Johor di bawah Menteri Besar Osman Sapian, bekas pemimpin Umno yang masuk Bersatu sebelum PRU14.
Walaupun Osman ada banyak pengalaman – pernah berkhidmat tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas sejak 1999 ketika bersama Umno, pengundi yang ditemui The Malaysian Insight merasakan beliau gagal menjalankan urus tadbir dengan baik.
Malah mereka melihat, corak pentadbiran setiausaha Bersatu Johor itu saling tidak tumpah seperti Umno.
“Tiada apa yang menteri besar laksanakan sepanjang tempoh enam bulan kerajaan PH memerintah Johor, tidak ada apa yang dia buat untuk rakyat,” kata seorang usahawan yang hanya mahu dikenali dengan nama Dollah.
“Tak usah cerita manifesto, kita tengok dan kita lihat, kita boleh nilai sendiri apa yang Osman sudah buat di Johor. Tidak ada apa-apa,” kata usahawan bergelar Datuk berumur 45 tahun itu.

Dollah memberi contoh soal pelantikan ketua kampung di seluruh Johor yang belum lagi selesai sebagai antara isu yang gagal diselesaikan segera oleh pentadbiran baharu negeri.
“Berapa lama baru nak selesai, orang nak minta pengesahan, nak nikah, semua susah bila tidak ada ketua kampung,” katanya.
Selepas mengambil alih pentadbiran negeri, kerajaan PH Johor menamatkan perkhidmatan ketua kampung dan memulakan proses lantikan baharu. Proses itu bagaimanapun berlarutan sampai sekarang dan ada beberapa kawasan yang masih belum mempunyai ketua kampung.
Dollah berkata jika kelemahan pentadbiran ini tidak ditangani, tidak mustahil pengundi akan menolak PH dan mengangkat semula BN jadi kerajaan.
“Kalau Osman tidak berubah, teruskan perangai macam ini, buat macam sekarang, memang sepenggal saja PH tadbir Johor… saya berani jamin,” katanya.
“Kita harap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tukarlah Osman, lantiklah orang Bersatu lain.
“Kita bukan nak jatuhkan Osman, beliau memang tidak layak jadi menteri besar, cukuplah setakat exco,” tambah Dollah.
Dalam PRU14 yang lalu, PH menang 39 daripada 56 kerusi di DUN Johor dengan DAP menguasai 14 kerusi diikuti Bersatu 11, Amanah sembilan dan PKR lima. Tiga wakil rakyat Bersatu asalnya memenangi kerusi masing-masing atas tiket BN tetapi meninggalkan Umno, tiga hari selepas pilihan raya.
Umno yang terlepas negeri itu buat pertama kali dalam sejarah, tinggal 16 kerusi sementara PAS menang satu kerusi.
Dalam usaha menawan kubu kuat BN, PH Johor ketika kempen PRU14 turut mengumumkan 20 janji manifesto khusus untuk negeri itu dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.
Antaranya termasuk pemberian 10 meter padu air percuma, kemudahan pemberian lesen niaga bagi peniaga kecil, biasiswa untuk rakyat Johor yang melanjutkan pelajaran bagi peringkat diploma pertama dan ijazah, serta banyak lagi janji lain.

Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Bakar berkata, beliau juga tidak rasa ada sebarang perubahan yang boleh dibanggakan sebagai rakyat Johor.
“Masa pilihan raya matlamat kita satu saja, cuma nak jatuhkan bekas perdana menteri Najib Razak. Betul, kita dapat, tapi pentadbiran masih sama, cuma bertukar watak saja.
“Apa program baru kerajaan negeri buat? Langsung tidak ada. Tukar label program kerajaan BN saja. Jadi, apa yang lainnya bila kita tukar kerajaan.. tidak ada perubahan langsung,” katanya.
Namun sebagai penjawat awam, Bakar, 46, sedar beliau tidak boleh menongkah arus sebaliknya harus berhati-hati supaya tidak dikenakan tindakan.
“Kita ini mentimun, dia durian. Dia gelek kita kiri kanan kita tahan saja.
“Sekarang kita telan pahitnya. Sampai masa kita tukar semula,” katanya, merujuk pada PRU15 nanti.
Bagaimanapun, ada juga rakyat Johor yang melihat perubahan positif dalam pentadbiran kerajaan negeri, sejak PH mengambil alih.
Azri Ahmadi, 30, berkata peniaga kecil di kawasannya di Labis kini tidak lagi perlu membayar sewa tapak, seperti sebelumnya ketika BN memerintah.
“Di kawasan seliaan Majlis Daerah Labis, peniaga pasar malam, pasar tani tak lagi perlu bayar RM5 sewa tapak,” katanya kepada The Malaysia Insight.
Khaled Mustapha, 39, berkata rakyat Johor harus memberi kerajaan negeri yang baharu peluang dan masa untuk memulihkan kerosakan yang dilakukan BN.
“Kita 61 tahun (BN memerintah) boleh tunggu, takkan setahun dua lagi tak boleh tunggu. Kita tunggu, beri peluang.
“Kita pun tahu 100 hari janji manifesto itu tak boleh buat, kita bagi masa sikitlah,” kata anggota keselamatan itu. – 18 November, 2018.
Komen