Konflik Himalaya, tentera China-India bergaduh


PERGADUHAN  tercetus antara tentera India dan China di kawasan yang menjadi rebutan di Himalaya, kata pegawai hari ini, selepas tentera kedua-dua negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sejak sebulan lepas.

Tindakan tentera China melempar batu ke arah seorang askar India berhampiran Tasik Pangong, sebuah kawasan utama tarikan pelancong di kawasan pergunungan Ladakh semalam dikatakan menjadi punca pergaduhan itu, kata seorang pegawai India.

Katanya lagi tentera China melakukan dua kali percubaan untuk memasuki kawasan India tetapi berjaya dihalang.

“Ada kejadian kecil. Ada batu yang dilempar dari kawasan milik China tetapi situasi dapat dikawal,” katanya kepada AFP.

Kekecohan itu berjaya diselesaikan selepas tentera China dan India berundur ke kawasan masing-masing, tambahnya.

Polis di utara negeri Jammu dan Kashmir berkata pergaduhan itu selalu berlaku di kawasan sempadan yang dikenali sebagai Garis Kawalan Sebenar (LAC).

“Perkara ini berlaku setiap musim panas tetapi kali ini berpanjangan dan lebih serius tetapi tiada senjata digunakan,” kata sumber polis kepada AFP.

Tasik Pangong terletak 4,000 meter dari aras laut di pergunungan Tibet.

Kejadian terbaru itu tercetus ketika ketegangan antara kedua negara itu berkaitan kawasan strategik di pergunungan Himalaya kini masuk bulan kedua dan beratus tentera China dan India diletakkan di situ untuk mengawal situasi.

Masalah sempadan itu bermula Jun lalu apabila tentera China mula memanjangkan jalan melalui kawasan Doklam yang menjadi rebutan antara China dan Bhutan.

India yang merupakan sekutu rapat Bhutan menggerakan tenteranya ke kawasan pembinaan jalan itu, menyebabkan Beijing menuduh  India menceroboh kawasan China.

China berkata India perlu mengundurkan tenteranya sebelum rundingan dapat dimulakan. Tetapi India mahukan kedua-dua negara mengundurkan tentera serentak.

Dataran kawasan pergunungan itu signifikan kerana ia memberikan China jalan masuk ke dalam kawasan yang menghubungkan negeri paling utara India kepada seluruh India.

Negara berjiran itu pernah berperang seketika pada 1962 di Arunachal Pradesh, India.

Ketegangan di LAC memuncak pada 2014 apabila tentera China bergerak masuk ke dalam kawasan yang menjadi tuntutan India, menyebabkan ketegangan ketenteraan selama dua minggu. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen