Amanah tolak ICERD 


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018

AMANAH menolak cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presidennya, Salahuddin Ayub berkata rakyat Malaysia perlu mempertahankan keharmonian, kesaksamaan dan kehidupan semua kaum di negara ini.

“Apa-apa yang bertentangan dengan perlembagaan dan budaya negara kita tidak boleh terima, kita ada sistem kita sendiri dan kita ada sikap kita sendiri. Apa terkandung dalam perlembagaan akan kita pertahankan.

“Buat masa ini saya rasa majoriti tidak boleh meratifikasi perkara itu (ICERD) dan ada perkara kita perlu lihat secara teliti. Kita harus pertahan apa yang kita rasakan perlu untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Minda bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Pada 26 Oktober lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.

Namun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.– Bernama, 13 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen