Siasatan PAC terhadap 1MDB selepas kes mahkamah selesai, kata pengerusi


Asila Jalil

Pengerusi PAC Ronald Kiandee ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 November, 2018

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan meneruskan rancangan untuk menyiasat semula 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kes mahkamah yang berkaitan selesai, kata Ronald Kiandee.

Pengerusi PAC itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara dan ia telah disampaikan kepada speaker. 

“Tiada prosiding sehingga kes mahkamah selesai. Tiada prosiding 1MDB oleh PAC walaupun kita menyokong usul di Parlimen untuk mengadakan prosiding ke atas 1MDB. 

“Perkara itu sudah disampaikan kepada speaker dan saya yakin speaker sudah maklumkan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kiandee berkata, beliau sudah bertemu dengan Peguam Negara dua minggu lalu dan juga menulis surat kepada beliau yang mana beliau menjawab tiada prosiding ke atas 1MDB. 

“Kami menjelaskan dengannya, sudah pasti ya kita harus bersetuju dengannya bahawa tiada prosiding 1MDB yang dijalankan oleh PAC,” katanya.

Sementara itu, PAC bersetuju untuk mengadakan prosiding mengenai Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Mac 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kiandee berkata PAC juga mendapat pandangan Peguam Negara untuk mengadakan prosiding dan ia tidak akan mengganggu kes 1MDB di mahkamah.

“Dalam prosiding ini, PAC akan menyiasat jika terdapat sebarang halangan yang dihadapi oleh Jabatan Audit Negara dalam melaksanakan audit terhadap 1MDB selain jika terdapat perubahan terhadap fakta-fakta mengenai Laporan Audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC,” kata Kiandee.

Beliau berkata prosiding itu akan bermula pada minggu pertama bulan Disember dan bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang akan menjadi saksi pertama.– 13 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen