Kumpulan peguam kecam sabitan kes karikatur badut


Fahmi Reza disabitkan bersalah kerana lukisan karikatur badut bekas perdana menteri Najib Razak dan hakim berkata tertuduh terlupa adab sebagai orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi untuk mengekalkan sabitan bersalah terhadap Fahmi Reza bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menafikan hak masyarakat umum meluahkan pendapat dan kritikan politik, kata N Surendran.

Penasihat Lawyers for Liberty itu berkata keputusan berkenaan satu ketidakadilan kepada hak rakyat terhadap meluahkan satira menerusi imej atau karikatur yang disasarkan kepada ahli politik.

“Keputusan mahkamah itu mengejutkan dan mengecewakan, dan bertentangan dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan ekspresi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran berkata keputusan Hakim Radzi Harun yang menetapkan karikatur itu sebagai menyinggung dan jenayah, menyekat kebebasan perlembagaan Fahmi, dan keputusan itu akan menetapkan satu permulaan yang “bahaya dan buruk” untuk semua rakyat.

Beliau berkata hakim mengguna pakai prinsip undang-undang yang salah dan berceramah dengan Fahmi kerana lupa “adab sebagai orang Melayu”.

“Ia mengejutkan bila hakim cakap begitu, kerana undang-undang jenayah bukan bertujuan menghukum rakyat kerana ‘tiada adab’,” katanya.

Surendran berkata hakim gagal melihat bahawa pendapat awam berpihak kepada Fahmi kerana kebanyakan rakyat Malaysia menyokong kritikannya terhadap karikatur badut Najib Razak, kerana ia simbol penentangan terhadap perdana menteri yang menindas dan klepotrat.

Sementara itu, Surendran juga berkata Pejabat Peguam Negara memikul tanggungjawab yang sama terhadap sabitan kesalahan itu.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pejabat Peguam Negara mengecewakan Fahmi dan rakyat Malaysia dengan meneruskan pendakwaan tidak demokrasi itu yang dilakukan pada zaman Barisan Nasional,” katanya. – 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen