Walaupun diasak Bersatu, Umno masih berpengaruh di Johor


Mohd Farhan Darwis

Umno kalah pada pilihan raya 9 Mei lalu, di negeri kelahirannya, Johor, parti itu terus berusaha mengekalkan legasi dan peranannya di peringkat akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

UMNO masih bergerak dan utuh di Johor walaupun negeri kelahiran parti Melayu itu jatuh kepada pentadbiran Pakatan Harapan sementara Bersatu cuba menarik ahli-ahlinya menyertai parti itu, kata pemimpin parti negeri.

Setiausaha Umno Johor Samsol Bari Jamali berkata Umno masih aktif mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, sama seperti ketika ia masih sebahagian kerajaan pemerintah sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Kita teruskan kerja-kerja parti dan peranannya, sesuai dengan kedudukan Umno sebagai institusi masyarakat yang bergerak di akar umbi melihat masalah rakyat.

“Kita teruskan legasi ini, peranan ini, supaya Umno terus dilihat dan dirasakan wujud dan dirasai peranannya dalam masyarakat,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang itu kepada The Malaysian Insight.

Cuma bezanya, jelas beliau, gerak kerja Umno sekarang skalanya lebih kecil tetapi masih memberikan kesan yang diharapkan untuk masyarakat.

“Dalam aktiviti masyarakat kita masih terlibat dan bergerak terus, kita beri apa yang sebolehnya kita bantu.

“Kita kerja menggunakan pendekatan kos yang rendah tetapi berimpak tinggi, tiada program besar-besar, tetapi program yang memberikan kesan sentuhan kemanusiaan,” katanya.

Bersatu gagal menarik ahli Umno Johor masuk kerana parti Melayu itu masih dipandang tinggi di sana, kata pemimpin negeri.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

Umno kini mempunyai 14 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Tiga wakil rakyatnya menyertai Bersatu, sejurus BN tumbang dalam PRU14. Parti komponen BN dari MIC pula memenangi dua kerusi.

Samsol Bari berkata, walaupun Umno sekarang pembangkang, parti itu ada kelebihan di Johor kerana sudah berakar umbi di kawasan kampung dan sukar dipisahkan daripada masyarakat.

“Umno ini cawangannya di kampung-kampung. Kita buat program Maulidur Rasul di peringkat akar umbi, parti lain tak buat macam kita. Kita sebati dengan masyarakat. Kita kekalkan perkhidmatan seperti sebelum ini.

“Aktiviti kita sertai seperti bacaan surah Yasin, majlis khatam al-Quran, kita masih bersama masyarakat, tiada janji peruntukan… akar umbi pun faham, itu peranan kerajaan,” katanya.

Menghadapi kemaraan Bersatu

Samsol Bari turut mengakui, Umno kini berhadapan kemaraan Bersatu yang cuba menambah cawangan di negeri itu.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa juga mengakui beliau sendiri berdepan kesukaran untuk memastikan wakil rakyat Umno kekal bersama parti itu kerana ramai yang sedang didekati untuk menyertai parti lain.

Beliau membuat kenyataan selepas Adun Guar Chempedak Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar Umno untuk jadi wakil rakyat bebas di Kedah.

Umno pasca PRU14 diterajui Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan berdepan tugas berat bukan sahaja memastikan perjuangan mereka terus relevan tetapi juga menghalang wakil rakyat parti itu berpaling tadah.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

Samsol Bari bagaimanapun berkata Umno Johor teguh menghadapi cabaran itu.

“Tiada cawangan Umno tutup. Keahlian Umno seramai 476,000 di seluruh Johor, 2,335 cawangan, 93.8% bermesyuarat dalam mesyuarat agung Umno lalu. Ini bukti kita masih bergerak.

“Kami parti yang berstruktur, tiada parti lain seperti kami,” katanya, dan menambah parti itu juga sedang melakukan pemutihan ahlinya.

Seorang pemimpin Pemuda Umno Bahagian Labis yang ditemui The Malaysian Insight berkata, Bersatu sukar mendekati ahli-ahli Umno yang berumur dan hanya fokus mendapatkan keahlian generasi muda.

“Di kawasan kampung saya masih tiada cawangan Bersatu, penggeraknya pun budak muda, mana orang-orang tua nak sertai Bersatu. Mereka tetap dengan Umno macam mana pun.

“Lagipun kita sudah bergerak, program berterusan sekarang, lepas satu-satu cawangan kita pergi, kita tidak duduk diam,” katanya, dengan syarat dirahsiakan identiti.

Seorang ketua cawangan Umno yang hanya mahu dikenali sebagai Said berkata, ada usaha penyokong Bersatu menarik ahli Umno menyertai parti itu bagi membolehkan mereka menubuhkan cawangan.

“Mereka cuba tarik orang kampung tetapi ramai yang tidak mahu sertai Bersatu. Ada segelintir yang bersama mereka, tetapi tidak ramai. Majoriti orang kampung tetap bersama Umno walaupun kita pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen