Rosmah dijangka didakwa lagi minggu ini


Alfian Z.M. Tahir

Rosmah Mansor yang sudah berdepan 17 pertuduhan berkaitan 1MDB dijangka didakwa dengan pertuduhan baharu minggu ini berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

ROSMAH Mansor dijangka berdepan pertuduhan baharu minggu ini melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah di pendalaman Sarawak, kata sumber.

Isteri bekas perdana menteri itu pada 4 Oktober lalu sudah dikenakan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, pertuduhan yang berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan, dan dikenakan ikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu The Malaysian Insight yang Rosmah dan pembantunya, Rizal Mansor dijangka didakwa minggu ini.

Projek solar hibrid tersebut menjadi tumpuan awam Jun lalu, selepas portal terkenal Sarawak Report melaporkan yang projek itu dianugerahkan kepada syarikat berpengkalan di Bintulu, Jepak Holdings Sdn Bhd.

Susulan laporan tersebut, seorang pengarah syarikat, pengarah urusan dan peguam ditahan SPRM untuk membantu siasatan.

Julai lepas, Rizal ditahan SPRM kerana didakwa menerima suapan daripada Jepak Holding berkaitan projek tersebut.

Minggu lalu, Najib dipanggil ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu untuk diambil keterangan berkaitan skandal tersebut. Turut disoal siasat ialah bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid. – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen