Remaja ketagih internet maut selepas 48 jam masuk pusat pemulihan


Menjadi negara pertama yang mengisytiharkan ketagihan internet sebagai gangguan klinikal, China dijangka berdepan masalah dengan jutaan belia yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya dalam talian. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2017.

SEORANG remaja lelaki di China meninggal dunia dalam masa kurang 48 jam selepas mendapatkan rawatan di pusat pemulihan ketagihan internet, menyoroti kontroversi terhadap kemudahan itu yang menyebabkan pengguna sukar “berpisah” apabila menggunakannya.

Menjadi negara pertama yang mengisytiharkan ketagihan internet sebagai gangguan klinikal, China dijangka berdepan masalah dengan jutaan belianya yang menghabiskan masa berjam-jam dalam talian.

Ibu bapa Li Ao, 18, mencuba segala-galanya yang mampu untuk menyembuhkan ketagihan internet anaknya: mengalihkan perhatian kepada perniagaan keluarga, menggalakkannya menyertai tentera dan membawanya melancong.

Tetapi selepas semuanya tidak berhasil, mereka memutuskan membayar 22,800 yuan (RM14,668.17) bagi tempoh 180 hari untuk menjalani “pendidikan khas tertutup, terasing” di pusat pemulihan.

Pihak sekolah itu berjanji menggunakan kombinasi kaedah rawatan psikologi dan latihan ketenteraan, kata ibu bapa Li kepada media di sana, CCTV pada Ahad.

Walaupun penyebab kematian Li masih tidak diketahui, bapanya Li Tao dan ibu Liu Dongmei memberitahu CCTV, sekolah memanggil mereka kurang dua hari selepas mereka menghantar dan mengatakan anaknya berada di dalam bilik kecemasan.

Sewaktu tiba di hospital, anaknya sudahpun dipindahkan ke bilik mayat, di mana ibu bapanya mendapati tubuhnya dipenuhi kesan parut.

“Guru-guru di pusat memberitahu gaya pengajaran mereka sangat membimbing, dan mereka mengatakan tidak pernah memukul atau menjalankan hukuman dera,” kata Liu Dongmei kepada CCTV.

“Tetapi apabila saya lihat mayat anak saya, terdapat lebam di seluruh lengan dan kakinya.”

Menurut CCTV, sekolah yang terletak berhampiran ibu kota Hefei, tidak dilesenkan dan beberapa kali diarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan operasinya.

“Sekarang saya hanya mahu pihak berkuasa menyiasat dan mendedahkan kebenaran di sebalik kematian anak saya,” kata Li Tao.

Pihak pengurusan sekolah dan empat pengajar ditahan polis, sementara 20 pelajar yang tinggal di pusat itu dibawa keluar ibu bapa mereka.

Penyiasatan sedang berjalan, lapor CCTV dan AFP tidak dapat menghubungi biro keselamatan awam setempat untuk mendapatkan sebarang komen.

China memperkenalkan draf undang-undang pada Februari ini yang melarang penggunaan terapi renjatan elektrik dan pukul di pusat rawatan ketagihan internet.

Ia juga menghalang kanak-kanak daripada bermain permainan dalam talian antara tengah malam hingga jam 8 pagi. – AFP, 16, Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen