28 maut, 80 cedera, angkara pengebom bunuh diri di Nigeria


Boko Haram melancarkan pemberontakan pada 2009 yang membunuh kira-kira 20,000 orang dan mengusir hampir 2.6 juta penduduk, mewujudkan salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2017.

TIGA orang wanita bertindak nekad meletupkan diri di pintu masuk sebuah kem bagi penduduk tanpa rumah di timur laut Nigeria pada Selasa, membunuh 28 orang dan mencederakan 82 yang lain, kata sumber tempatan.

Kejadian terbaru dalam beberapa siri serangan di kawasan bermasalah itu, berlaku di bandar Mandarari, 25 kilometer (15 batu) dari Maiduguri, kata anggota pengawal kampung Baba Kura.

“Tiga pengebom bunuh diri meletupkan diri di luar kem ... membunuh 28 orang dan mencederakan 82 orang lain,” kata Kura.

Tindakan penyerang pertama meletupkan dirinya menyebabkan keadaan panik, kata Kura.

“Orang ramai cuba menutup kedai mereka ketika dua lagi pengebom  wanita itu meletupkan diri, menyebabkan ramai mangsa maut,” katanya.

Ibrahim Liman, ketua pasukan anti-militan tempatan, mengesahkan serangan itu dan berkata lebih 80 orang yang cedera dibawa ke hospital Maiduguri.

Seorang sumber di hospital berkata menerima pesakit dalam jumlah yang besar.

Timur laut Nigeria adalah pusat aktiviti kumpulan militan Boko Haram, yang sering menyaksikan kejadian tembak menembak, pengeboman dan penculikan.

Ia melancarkan pemberontakan pada 2009 yang membunuh kira-kira 20,000 orang dan mengusir hampir 2.6 juta penduduk, mewujudkan salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Hampir 2 juta menderita kekurangan nutrisi yang teruk, menurut statistik dikeluarkan PBB. – AFP, 16, Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen