Ketua IT pemilihan PKR ditahan polis berkaitan serangan siber Julau


Desmond Davidson

Pemilihan di Julau, Sarawak semalam kecoh kerana didapati serangan siber berlaku. Hari ini, Ketua IT pemilihan Alvin Teoh Kong Seng ditahan untuk soal siasat polis Sibu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2018.

KETUA Unit Sistem dan Data Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR Alvin Teoh Kong Seng ditahan polis di Sibu pagi tadi berkaitan dakwaan wujudnya serangan siber ke atas tablet digunakan dalam pemilihan di Cabang Julau semalam.

Teoh kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei untuk soal siasat. Julau termasuk dalam bidang kuasa polis Sarikei.

Tetapi, beliau dibawa semula balik ke Sibu untuk soal siasat kerana Sarikei tidak mempunyai unit jenayah komersial untuk menangani kes itu, kata peguam Teoh, Tap Hoi Leong kepada The Malaysian Insight.

“Buat masa sekarang dia masih berada di Ibu Pejabat Polis Sibu untuk diambil keterangan,” kata Yap.

Empat laporan polis dibuat semalam dan awal pagi ini kerana serangan siber itu yang menyebabkan keputusan pemilihan cabang paling jadi tumpuan itu ditangguhkan.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Adun Batu Tiga (Selangor) Rodziah Ismail membuat laporan polis di Balai Polis Julau malam tadi berkaitan serangan itu.

Seorang ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Ismail Yusop juga membuat laporan polis pada jam 4:24 pagi tadi di Balai Polis Damasara, Petaling Jaya.

Teoh juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada jam 1:11 pagi.

Dalam laporannya, Teoh menyatakan beliau dimaklumkan seorang petugas IT yang bertugas di Stadium William Mawan mengenai kewujudan aplikasi “Prey Anti-Theft” dalam sebahagian tablet yang digunakan untuk pengundian di situ.

Pakar IT berusia 44 tahun itu kemudiannya melaporkan perkara itu kepada Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, serta kepada JPP dan bertindak serta merta berdasarkan arahan Unit Keselamatan IT.

Katanya, ketika beliau cuba memadamkan aplikasi itu dalam tablet yang meragukan, aplikasi itu turut memadamkan semua data dalam tablet itu.

Rafizi Ramli mendakwa kehilangan 3,000 undi kerana kekecohan di Julau semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

Ismail pula dalam laporannya menyatakan yang aplikasi tersebut boleh menjejaskan pemilihan kerana ia boleh memadamkan semua data dalam tablet terlibat.

Katanya, Unit IT PKR tidak pernah meletakkan aplikasi itu dalam tablet yang digunakan untuk e-voting.

Ismail berkata siasatan awal mendapati pelanggaran peraturan itu dibuat sekitar jam 4 pagi 10 November.

Katanya lagi, daripada 80 tablet yang digunakan untuk pemilihan di Cabang Julau, 12 daripadanya mempunyai aplikasi tersebut dan enam didapati sudah memadamkan semua data di dalamnya.

Polis sudah merampas sembilan tablet, kata Ismail lagi.

Peguam Teoh menafikan dakwaan Ismail yang aplikasi tersebut memang sedia ada wujud dalam pasaran sebagai “firewall” dan tiada bukti ia mampu memadamkan semua data dalam mana-mana peralatan.

“Saya sudah memberitahu anak guam saya supaya memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut.”

Yap juga tidak pasti sama ada Teoh akan ditahan selepas memberi keterangan.

Jika Teoh ditahan hari ini, beliau akan dibawa menghadap majistret Sibu untuk tahanan reman.  – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen