Membetulkan Dilema Melayu


Jahabar Sadiq

Minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegur menteri dan timbalan menteri Melayu mengenai agenda Melayu, sesuatu yang wajar dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

MINGGU lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan menteri dan timbalan menteri Melayu, enam bulan selepas menang pilihan raya dan jadi ketua kerajaan untuk kali yang kedua.

Agensi berita nasional Bernama melaporkan mesyuarat tertutup itu dan memetik Dr Mahathir berkata pertemuan itu bagi mengingatkan mereka tentang sejarah negara.

“Saya kena memberitahu sejarah negara kita supaya semua faham asal usul kita. Dengan itu, kita tidak akan lakukan perkara-perkara tidak baik yang mungkin pernah berlaku,” kata perdana menteri, dipetik selepas pertemuan itu.

The Malaysian Insight difahamkan Dr Mahathir bersyarah tentang pemimpin Melayu sebelum ini yang gagal. Beliau mahu menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang untuk berlaku jujur dan membetulkan masalah yang ada.

Tentulah adil kalau kita menganggap beliau tidak termasuk antara pemimpin Melayu yang mengecewakan rakyat dalam monolog 45 minit dengan menteri dan timbalan menteri itu.

Pertemuan itu berakhir begitu saja tanpa sebarang rumusan, Sumber berkata pertemuan itu hanya membangkitkan kebimbangan Dr Mahathir yang beliau sendiri pun tidak mampu menyelesaikan masalah dengan masa yang ada padanya sebagai perdana menteri.

Itu sebabnya beliau bersyarah kepada kumpulan menteri dan timbalan menteri itu yang sebahagian besarnya tidak pernah duduk dalam kerajaan, malah tidak pernah memegang jawatan yang menyumbang pada tabung pencen. Sesetengahnya berniaga burger pun tidak pernah untuk tahu apa maknanya risiko dalam hidup yang sebenar.

Bahawa masyarakat Melayu terutamanya dan rakyat Malaysia umumnya ada banyak masalah bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Membetulkan masalah itu suatu hal yang lain kerana pelbagai cadangan yang dikemukakan akhirnya hanya menguntungkan segelintir dan merugikan banyak yang lain.

Apabila Dr Mahathir jadi perdana menteri kali pertama pada 16 Julai 1981, Malaysia bersedia untuk beralih daripada negara pertanian untuk jadi negara ekonomi industri yang maju. Itulah yang berlaku.

Pentadbiran Mahathir yang baru beberapa tahun itu kemudiannya diresapi politik. Timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pun bersilih ganti dengan program pendidikan dan ekonomi untuk memajukan Malaysia.

Malaysia bertatih, jatuh, bangun, berlari, jatuh lagi dan melencong dari seekor harimau Asia kepada kucing gemuk kleptokrasi yang cukup sesuai digambarkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan cogan katanya yang tepat – Forging Partnership, Advancing Growth (Menjalin Perkongsian, Membina Pertumbuhan).

Ia menjalin banyak hubungan dan membina pertumbuhan untuk segelintir.

Hari ini, enam bulan selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya 9 Mei dan membentuk kerajaan sehari kemudian, rakyat Malaysia melihat pilihan raya yang kelam kabut dalam parti terbesar dalam pakatan itu, PKR.

Sementara menteri dari parti lain menjadikan diri mereka sebagai tajuk berita, dan bukannya kerja mereka.

Dr Mahathir wajar bimbang, sama seperti rakyat Malaysia yang lainnya.

Menteri-menteri itu perlu tahu apa kerja mereka – menyelesaikan masalah, dan bukannya mencari jalan untuk kekal berkuasa dan mempertahankan jawatan mereka.

Mereka perlu membetulkan dilema baru Melayu menang pilihan raya untuk kuasa atau berkhidmat kepada rakyat seperti yang mereka katakan – walaupun tanpa jawatan politik atau menteri. – 11 November, 2018.

*Jahabar Sadiq menguruskan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen