Umno Johor berpendirian Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu bercuti daripada jawatan presiden parti susulan 45 pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad berkata, walaupun terdapat suara meminta Zahid bercuti dalam mesyuarat tertutup bersama kepimpinan negeri itu hari ini, Umno Johor mengharapkan beliau akan terus berkhidmat.
“Kita di Johor amat berharap presiden terus memimpin Umno, bawa Umno untuk berhadapan sesiapa sahaja, membujur lalu melintang pun lalu.
“Saya beri jaminan Umno Johor akan terus bekerjasama dengan presiden, Umno yang lahir di Johor tidak akan terkubur di Johor,” kata Hasni, ketika berucap sempena perjumpaan khas Zahid bersama kepimpinan Umno di Johor Bahru, hari ini.
Hasni juga berharap Zahid tidak berkecil hati dengan pandangan yang disuarakan kepimpinan negeri, kerana pimpinan Umno Johor sememangnya dikenali dengan suara yang lantang dan terbuka.
“Menyentuh perlunya presiden bercuti atau pertahankan kepimpinan selaku presiden, Johor nyatakan harapan presiden terus bawa perubahan demi perubahan dan laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin supaya masa depan orang Melayu terbela dan terjamin.
“Maka presiden dengan hati berlapang dada terima bentuk teguran dan saranan Umno dari bahagian-bahagian di Johor.
“Suara mereka lantang memang biasa dalam mesyuarat, janganlah presiden terasa hati kerana dengan keluarga besar dan suara lantang kita dapat pupuk kepimpinan ‘big happy family’ di Johor,” tambah Hasni.
Zahid hari ini mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan Umno bahagian di Johor, dalam siri jelajah keenam ke setiap negeri.
Gesaan untuk beliau berehat daripada jawatan presiden disuarakan beberapa pihak termasuk sayap Pemuda Umno.
Pemuda Umno pada Oktober meminta beliau mempertimbangkan untuk bercuti bagi memberikan fokus kepada kes mahkamah yang dihadapinya.
Zahid didakwa di mahkamah dengan 45 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta. – 10 November, 2018.
Komen