Zahid akui Umno bincang gesaan agar beliau bercuti


Mohd Farhan Darwis

Bagaimanapun Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tertinggi Umno putuskan beliau kekal bertugas sebagai presiden parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 November, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui bahawa majlis tertinggi parti itu semalam sememangnya membincangkan mengenai kedudukannya untuk terus mengetuai Umno.

Katanya mesyuarat majlis berkenaan seterusnya memutuskan untuk beliau kekal bertugas sebagai presiden parti.

“Semalam dalam mesyuarat MT kita turut bincangkan soal presiden harus bercuti tapi keputusan dibuat mesyuarat MT maka saya harus terus memberikan kesinambungan tugas sebagai presiden Umno.

“Kerana Umno harus diberi kelangsungan bukan hanya mewarnai landskap politik tapi harus mengakui 48 ahli Parlimen kita dan empat lagi parti politik dalam Barisan Nasional (BN), walaupun ada usaha pihak tertentu untuk ahli Parlimen Umno melompat parti,” kata Ahmad Zahid.

Beliau mengakui demikian dalam sidang media selepas pertemuan bersama barisan kepimpinam Umno Johor di Johor Bahru, hari ini.

Kenyataan itu berbeza dengan kenyataannya semalam yang mengatakan mesyuarat berkenaan tidak membincangkan kedudukan beliau sebagai presiden Umno.

Dalam kenyataannya semalam, Ahmad Zaid berkata, gesaan yang dibuat sayap Pemuda Umno agar beliau bercuti hanyalah untuk pertimbangan ahli-ahli MT Umno.

“Tak ada perbincangan. (Itu) cuma pandangan, dan kita raikan pandangan itu. Tak ada seorang pun ahli MT termasuk Pemuda yang meminta saya bercuti.

“Pemuda menyebut bahawa mesyuarat Exco dulu cuma mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh MT, terutama oleh presiden Umno sendiri. Itu sajalah,” katanya.

Pemuda Umno sejak Oktober lalu menggesa Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk beliau bercuti susulan pendakwaan terhadapnya.

Ahmad Zahid kini berhadapan 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram melibatkan yayasan milik keluarganya. – 10 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen