ANGGOTA penyelamat mengeluarkan banyak lagi mayat daripada runtuhan rumah dan kolam lumpur di ibu negara Sierra Leone Freetown, di mana lebih 300 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh.
Pasukan penyelamat berdepan dengan kesukaran apabila menghadapi masalah kekurangan peralatan yang menyukarkan lagi kerja mencari dan penggalian.
Kerajaan negara itu menjanjikan bantuan kepada lebih 3,000 orang yang hilang tempat tinggal, serta membuka pusat pasukan kecemasan di kawasan Regent.
Israel dan Britain dilaporkan turut menghantar bantuan secepat mungkin ke kawasan yang terjejas.
Pusat pendaftaran turut dibuka bagi mengenalpasti jumlah mereka yang kehilangan tempat tinggal di bandar Freetown, sebuah bandar yang berpopulasi sekitar sejuta penduduk.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Paolo Conteh memberitahu stesen tv Sierra Leone, ribuan lagi mangsa dilaporkan masih hilang.
Jurucakap Palang Merah Patrick Massaquoi memberitahu AFP pada Isnin angka kematian dicatatkan 312 orang dan ia dijangka akan meningkat selepas pasukannya menyelongkar kawasan terjejas di Freetown.
Seorang lagi pegawai Palang Merah, Abu Bakarr Tarrawallie meletakkan jumlah angka kematian direkodkan 245 kepada AFP, manakala media tempatan melaporkan jumlah berbeza.
“Pasukan mencari dan menyelamat berdepan pelbagai cabaran kerana kekurangan peralatan dan juga tenaga pakar untuk menggali rumah yang tenggelam.
“Manakala pendaftaran penduduk yang terjejas masih lagi berjalan bagi mencari jumlah tepat mereka yang terjejas,” kata Tarrawallie kepada AFP.
Setakat ini mereka yang terselamat terpaksa membina sendiri tempat perlindungan sementara dan memerlukan bantuan perubatan dan makanan, tambahnya. – AFP, 15 Ogos, 2017.
Komen