.jpg)
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 memaklumkan mengenai pelaksanaan cukai digital bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna.
Dalam pembentangan berkenaan Guan Eng menyebut bahawa penyedia perkhidmatan asing ini akan dikehendaki berdaftar dengan Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja dan cukai perkhidmatan berkenaan akan dikenakan berkuatkuasa 1 Januari 2020.
Tanpa menyebut sebarang nama syarikat, Guan Eng menyatakan contoh perkhidmatan yang akan dikenakan cukai ini ialah perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital.
Kerajaan berpandangan langkah percukaian ini penting dan akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian, terutamanya kedai atas talian yang dimiliki oleh syarikat luar negeri.
Walaupun begitu, tiada sebarang kadar atau kaedah pelaksanaan cukai ini disebut dalam pembentangan berkenaan dan kerajaan dijangka akan meneliti mengenainya dalam masa terdekat.
Ramai penganalisis ekonomi sebenarnya sudah menjangkakan mengenai kemunculan cukai yang disebut sebagai cukai digital ini. Walaupun Guan Eng semasa pembentangannya tidak menyebut nama mana-mana penyedia perkhidmatan atas talian secara terperinci namun beberapa jenama terkemuka terpampang pada slaid pembentangan Belanjawan 2019. Antara yang kelihatan ialah Netflix, Spotify dan Steam.
Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa semua perkhidmatan seperti ini bakal dikenakan cukai digital.
Namun begitu, disebabkan cukai ini bakal dikenakan kepada penyedia perkhidmatan dari luar negara, penyedia perkhidmatan digital tempatan seperti iFlix atau Dimsum dijangka tidak terkesan malah kemungkinan besar mampu menarik lebih ramai pengguna.
Jeremy Chew, Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group berpandangan, Malaysia kini telah menjadi negara kedua di Asia Tenggara selepas Singapura memperkenalkan skim cukai bagi sektor digital. Pengenalan skim cukai ini dilihat bermatlamat untuk mewujudkan suasana perniagaan lebih adil dan telus antara perniagaan antarabangsa dan tempatan dalam sektor digital.
Menurut Jeremy, selama ini perniagaan berbentuk digital dari luar negara sering mengelak daripada membayar cukai di Malaysia dan tidak hairan mereka mampu menjual barangan lebih murah di laman web mereka.
“Mereka (perniagaan digital luar negara) sering mengelak membayar cukai di Malaysia dengan alasan mereka tidak wujud secara fizikal di negara ini. Mereka kemudiannya mengumumkan mengenai keuntungan di negara asal dan menyebabkan negara kehilangan hasil cukai.
“Ini juga menjadi faktor mereka mampu menjual sesebuah barangan pada harga murah berbanding apa yang dijual oleh peniaga tempatan,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew berpandangan cukai digital ini akan memastikan persaingan adil dan memupuk persaingan sihat antara syarikat antarabangsa dengan syarikat digital tempatan.
“Sebagai salah sebuah syarikat dalam industry teknologi kewangan, kami gembira dan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan dalam perniagaan digital,” kata beliau.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika diminta mengulas usaha kerajaan mengenakan cukai digital berpandangan ia bukanlah satu usaha untuk menyekat rakyat daripada berhibur, tetapi dibuat selepas kajian mendalam Kementerian Kewangan.
Langkah untuk mengenakan Cukai Digital terhadap penyedia perkhidmatan ini telah diajukan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2016.
Ketika mengajukan cadangan ini, Menteri Kewangan II pada ketika itu, Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan platform digital asing menjana keuntungan berbilion ringgit tetapi mereka terlepas daripada membayar cukai dan yang menjadi mangsanya ialah syarikat tempatan kerana padang persaingan jelas tidak kompetitif.
Walaupun ramai yang memahami cukai ini dikenakan dengan tujuan untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mengukuhkan persaingan dalam industri digital, namun ia tetap dibimbangi akan menyebabkan harga perkhidmatan atau barang yang didagangkan secara atas talian akan meningkat, seterusnya memberi beban kepada pengguna.
Namun begitu, ketika tiada sebarang perincian diberikan lagi berhubung pelaksanaan cukai digital ini, kerajaan kemungkinan besar akan mengadakan lebih banyak sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan cukai yang bakal diperkenalkan nanti tidak membebankan.– 10 November, 2018
* Syafiq Hanafi, penulis di kapital.my
* Tulisan ini pertama kali disiarkan di kapital.my
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen