Pakatan akan tunai janji selamatkan negara, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, Negeri Sembilan, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 November, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya akan melunaskan janji untuk menyelamatkan negara seperti yang dinyatakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi Bersatu itu berkata, PH terhutang budi dengan rakyat kerana hanya dengan sokongan merekalah Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 61 tahun berjaya ditumbangkan.

“Baru-baru ini kita adakan pilihan raya umum dan berjaya tukar kerajaan yang sudah perintah selama 61 tahun, namun demikian parti pembangkang daripada empat buah parti yang bergabung berjaya menang pilihan raya kerana sokongan rakyat. 

“Ini kejayaan rakyat dan sudah tentu rakyat menunggu nikmat daripada kerajaan pilihan mereka, saya percaya kita dapat tunaikan janji kita…sudah tentu janji kita menyelamatkan negara kita,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 3,000 komuniti India dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, Negeri Sembilan, malam ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyeru rakyat menghargai keamanan yang dinikmati sehingga mereka mampu meraikan hari kebesaran setiap kepercayaan rakyat di dalam negara tanpa sebarang kekacauan.

“Tanpa keamanan banyak wang akan dihabiskan dalam permusuhan dan banyak yang cedera parah kerana permusuhan, dengan itu negara tidak dapat dibangunkan.

“Negara lain berperang hingga negara runtuh, rosak dan sukar mencapai perdamaian. Alhamdulillah, di Malaysia kita tidak mengalami malapetaka seperti itu. Amatlah penting kita kekalkan keadaan aman dan tenteram di negara kita ini,” katanya lagi.

Perdana menteri berkata rakyat akan dapat menikmati pembangunan daripada pemerintah.

“Bila negara aman kita dapat banyak nikmat kerana dengan keamanan kita dapat bangunkan negara dan memberi kebahagian kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menghargai semangat komuniti Hindu di dalam negara yang memberikan penghargaan kepada makhluk kecil seperti serangga melalui seni “kolam” yang dibuat ketika menyambut perayaan Deepavali.

“Kita dapati orang Hindu memberi perhatian kepada makhluk kecil sehingga mengadakan ‘kolam’ kepada makhluk kecil-kecil ini. 

“Perasaan bertimbang rasa kepada makhluk kecil bermakna besar, kalau kita prihatin kepada makhluk kecil mesti kita menghargai makhluk besar seperti manusia,” kata Dr Mahathir. – 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen