Nothing to Hide 2.0: Tujuh lagi ditahan


Program Nothing to Hide 2.0 yang diadakan di Seksyen 7 Shah Alam bertukar kecoh berikutan provokasi yang dilakukan pihak tidak dikenali. – Gambar The Malaysian Insight pic oleh Nazir Sufari, 15 Ogos, 2017.

TUJUH lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan semasa forum ‘Nothing to Hide 2.0’ di sini Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmad berkata kesemua lelaki berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur dalam beberapa operasi berasingan bermula pukul 8 malam tadi.

“Polis telah mendapatkan perintah reman sehingga 18 Ogos ini untuk kesemua lelaki yang ditahan itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kesemua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana melakukan provokasi dengan niat menyebabkan rusuhan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sebelum ini tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan kekecohan yang berlaku semasa majlis anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini.

Kekecohan berlaku kira-kira pukul 5.10 petang ketika Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan daripada peserta berhubung peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985, apabila terdapat individu tertentu membaling selipar, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah Dr Mahathir yang berada di tengah pentas.

Keadaan itu telah menimbulkan rasa panik sehingga ramai peserta forum berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri. Beberapa individu lain dipercayai cedera ringan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri. – Bernama, 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen