NGO kecewa kerajaan masih benar khatan bayi perempuan


Yasmin Ramlan

NGO kecewa kerana kerajaan kerana masih membenarkan khatan ke atas bayi perempuan yang didakwa berbahaya dan meningkatkan risiko kematian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2018.

KUMPULAN hak asasi kecewa kerana kerajaan kerana masih membenarkan khatan ke atas bayi perempuan yang didakwa berbahaya dan meningkatkan risiko kematian.

Salah satu NGO tersebut, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor berpendirian, amalan khatan wanita itu perlu ditolak kerana ia didapati tidak mendatangkan kebaikan daripada segi kesihatan.

Pengurus Komunikasi Mastura M Rashid berkata mereka menuntut kerajaan menolak amalan berkenaan yang dianggap merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

“(Sekarang sudah) 2018, masyarakat mengangkat kesamarataan terhadap gender.

“Jadi kita sepatutnya meninggalkan amalan berkhatan terhadap wanita, memandangkan terdapat laporan yang mengatakan, (khatan wanita) tiada kebaikan kesihatan.

“Jadi kenapa ingin meneruskannya atas sebab budaya?” soalnya, yang mengaitkan satu laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung amalan mencacatkan organ tersebut.

Badan dunia itu menegaskan, amalan mencacatkan organ itu tidak membawa sebarang kebaikan kesihatan ke atas kanak-kanak perempuan dan juga wanita dewasa.

Menurut WHO, prosedur berkenaan boleh menyebabkan pendarahan yang terus, masalah buang air kecil, ketumbuhan, jangkitan dan komplikasi bersalin dan meningkatkan kadar risiko kematian bayi baru lahir.   

WHO juga berpendirian bahawa amalan berkenaan merupakan satu bentuk keganasan hak asasi manusia terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita.

Mastura membangkitkan perkara itu ketika mengulas pendirian kerajaan bahawa Malaysia menolak sebarang amalan mencacatkan alat sulit wanita kerana menganggapnya membahayakan bayi dan kanak-kanak perempuan.

Kenyataan Putrajaya di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam bagaimanapun menyebut, Malaysia membenarkan amalan berkhatan yang dijalankan mengikut amalan budaya.

Menurut Putrajaya, prosedur tersebut dianggap ringan dan tidak melibatkan pemotongan.

“Kementerian Kesihatan menyediakan garis panduan di mana hanya pegawai perubatan profesional saja yang dibenarkan menjalankan prosedur tersebut,” kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, seorang penyelidik dari NGO Justice for Sister, S Thilaga juga menuntut agar amalan mencacatkan organ atau berkhatan ditolak sepenuhnya.

Beliau berkata jelas sekali sebarang bentuk pemotongan ke atas alat kelamin adalah satu perbuatan mencacatkannya.

“Saya rasa kita tidak mahukan sebarang pemotongan, apa-apa yang mencacatkan alat kelamin kita. Itu adalah cadangan paling asas untuk semua orang,” katanya. – 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apakah hal ini wajib dlm syarak islam?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan