India mampu pertahan sempadan dari ancaman, kata Modi


Perdana Menteri India Narendra Modi ketika berucap di Red Fort New Delhi sempena sambutan hari kemerdekaan negara itu yang ke 70.– Gambar EPA, 15 Ogos, 2017.

INDIA yakin mampu mempertahankan sempadannya daripada sebarang ancaman, kata Perdana Menteri Narendra Modi pada ucapan Hari Kemerdekaan negara itu berikutan tekanan yang semakin memuncak dengan Pakistan dan pergolakan sempadan dengan China.

“Isu keselamatan menjadi keutamaan kami,” kata Modi kepada ribuan rakyat negara itu yang hadir di mercu tanda Red Fort di New Delhi pada Selasa sempena hari kemerdekaan negara itu yang ke 70.

“Di mana sahaja, laut atau sempadan, ruang siber atau angkasa, dalam apa juga keadaan, India berkemampuan dan kami cukup kuat untuk menangani mereka yang cuba mengancam negara kita,” katanya.

Modi bagaimanapun tidak menyatakan kepada siapa amaran itu ditujukan namun kenyataannya itu dibuat selepas pergolakan India dengan China dan Pakistan berhubung dataran tinggi yang strategik di Himalaya yang memasuki bulan ketiga pada Rabu.

Ratusan tentera kini sedia berdepan antara satu sama lain di Doklam.

Negara jirannya mempunyai sejarah ketidakpercayaan dan pernah berperang pada 1962 merebut negeri Arunachal Pradesh di India.

Media China berulang kali melaporkan konflik berkenaan boleh tercetus di Doklam.

India menggesa oenyelesaian diplomatik untuk pertikaian itu. Ia bermula pada 16 Jun apabila tentera China mula membina jalan raya di kawasan berhamiran Bhutan. Tentera India mula campur tangan untuk menghentikan pembinaan itu kerana India lebih hampir dengan Bhutan.

India turut terbabit dalam konflik Himalaya di wilayah Kashmir, di mana berlaku perebutan dengan Pakistan sejak 1947.  – AFP, 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen