ABANG Arabi Abang Narudin dan sepupunya Abang Abdul Aziz Abang Mohamed menjadi pilihan utama eksekutif minyak dan gas Sarawak bagi jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat baharu milik kerajaan negeri itu Petros.
Portal Dayak Daily melaporkan, majoriti eksekutif dalam industri sama ada yang baharu mahupun yang sudah bersara merasakan kedua-duanya yang berasal dari Kuching itu layak menerajui barisan hadapan syarikat berkenaan berikutan pengalaman memajukan sektor itu dalam industri, serta mempunyai pendedahan antarabangsa kerana pernah bertugas di luar negara.
Bekas eksekutif Shell Sarawak, Abdul Karim Ali percaya kerajaan Sarawak pasti akan mempertimbangkan Abang Arabi kerana beliau masih “muda, bertenaga dan mempunyai tahap CEP (potensi anggaran semasa) yang tinggi”.
“Berbanding dengan Abang Aziz, beliau pada pandangan saya lebih berpotensi. Namun kekurangan Abang Arabi berbanding Abang Aziz adalah pengalaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Karim berkata, pemilihan itu pastinya sukar namun sesiapa yang terpilih pastinya adalah yang terbaik.
Dayak Daily yang memetik sumber dalam industri itu berkata, Abang Arabi memiliki semua keperluan yang melayakkannya menjadi CEO Petros.
“Beliau masih muda, dan mempunyai pengalaman yang luas yang pastinya akan dipertimbangkan untuk mengetuai syarikat itu dan beliau mempunyai banyak pendedahan antarabangsa, yang merupakan salah satu faktor penting.”
Abang Arabi kini memegang jawatan ketua pembangunan perniagaan Petronas sejak Julai lalu. Beliau kini bertugas di ibu pejabat Petronas di Kuala Lumpur.
Abang Arabi mula menceburi industri minyak dan gas ketika menyertai Shell Global Solution, iaiitu satu unit di bawah syarikat Shell dan pada 2010 dia dilantik sebagai ketua pembangunan perniagaan syarikat itu.
Pada Julai 2012, dia dilamar syarikat minyak nasional Petronas di mana dia dihantar ke luar negara serta merta sebagai ketua Petronas Carigali Canada Ltd.
Pada Disember 2010, dia dilantik sebagai naib presiden, sebuah syarikat usahasama baru Progress Energy Canada Ltd, yang merupakan satu lagi anak syarikat Petronas.
Dia kemudiannya dilantik sebagai naib presiden strategi dan usahasama baru pada April 2014 dan memegang jawatan itu selama 3 tahun setengah sebelum dipanggil balik ke Malaysia.
Abang Aziz kini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif kumpulan Integrated Petroleum Services (IS) KL, sebuah syarikat yang membekalkan khidmat sokongan industri minyak dan gas Malaysia dan Asia Pasifik.
Beliau mula terbabit dalam industri sebagai naib presiden kanan dan ketua Scomi Oiltools Timur Tengah, Afrika Utara dan Turki.
Pada Januari 2008, beliau meninggalkan Scomi untuk kembali ke IPS sebagai ketua pegawai operasi sebelum dilantik sebagai CEO kumpulan pada Oktober 2013.
Menurut laman web IPS, perniagaan utama syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu adalah menawarkan perkhidmatan seperti penyewaan dan pengurusan pelantar penggerudian, penyewaan dan pengurusan kapal sokongan luar pesisir, telaga minyak, reservoir dan perkhidmatan pengurusan medan bersepadu serta perkhidmatan kejuruteraan luar pesisir.
Terdapat perbezaan kelebihan antara Abang Aziz dan Abang Arabi yang mana menurut sumber itu adlaah dari psegi pengalaman dalam membida dan proses tender dalam industri minyak dan gas.
Sumber Dayak Daily juga berpendapat Petros tidak perlu mengambil terlalu ramai eksekutif dari Petronas atau khidmat awam bagi mengelakkan ‘budaya khidmat awam’ dalam syarikat minyak baharu itu.
Katanya ia perlu mengelakkan laluan yang sama yang diambil Petronas ketika penubuhannya pada 1974.
Kebanyakan eksekutif Petronas diambil dari perkhidmatan awam yang dipinjamkan untuk membantu.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan Petros sebagai syarikat berdaftar dan ahli lembaga pengarahnya sudah dimuktamadkan pada 7 Ogos lalu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahan ahli lembaga pengarah, bagi mengelakkan spekulasi. – 15 Ogos, 2017.
Komen