PKS bidas Putrajaya berhubung perjanjian 'tidak adil' terhadap pekerja Nepal


Khoo Gek San

Ribuan pekerja warga asing menunggu giliran di ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk mendapatkan E-Kad pada 30 Jun, 2017. Persatuan PKS mengecam tindakan kerajaan berhubung perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Nepal yang membenaran pekerja Nepal memasuki negara ini atas tanggungan majikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018

PEKERJA Nepal yang datang ke Malaysia mungkin mendapat tawaran yang lebih baik sekarang dengan perjanjian kerajaan-dengan-kerajaan yang mengekang orang tengah, namun ia mengecewakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana tidak dirujuk.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang berkata perjanjian dua hala itu tidak mempertimbangkan keadaan PKS, yang sangat bergantung kepada buruh asing dan kini perlu menanggung kos perbelanjaan pekerja Nepal termasuk kertas kerja visa, tiket penerbangan dan pemeriksaan perubatan.

Kang memberitahu The Malaysian Insight bahawa kandungan perjanjian itu belum didedahkan sepenuhnya selepas pengumuman Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, dan yang memerlukan PKS untuk menanggung semua perbelanjaan adalah tidak adil.

Tetapi menurut laporan Kathmandu Post, majikan Malaysia perlu menanggung sekurang-kurangnya RM3,000 bagi setiap pekerja, yang mesti dibayar terlebih dahulu, dan secara praktikalnya menjadikan ia “percuma” kepada warga Nepal untuk bekerja di Malaysia.

“Kenapa kementerian tidak berbincang dengan majikan sebelum membuat keputusan yang tidak munasabah? Sekurang-kurangnya ada komunikasi sebelum keputusan dibuat. Kos pengambilan pekerja tidak dinyatakan dan ia mungkin boleh jadi beribu-ribu.

“Memandangkan perjanjian itu antara dua negara, maka kos yang ditanggung oleh pekerja di Nepal harus ditanggung oleh kerajaan mereka,” katanya.

Kang menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk mendedahkan kandungan perjanjian, termasuk kos, jadi majikan sekurang-kurangnya boleh menganggarkan kos untuk menggaji pekerja Nepal.

Perjanjian dua hala itu berlaku selepas Nepal menghentikan warganya daripada bekerja di Malaysia pada bulan Julai, berikutan terlalu banyak peraturan dan kos yang tinggi, termasuk monopoli untuk pemeriksaan keselamatan dan ujian bioperubatan oleh sebuah syarikat swasta.

Pada masa yang sama, akhbar Nepal melaporkan mengenai dakwaan rasuah yang melibatkan pengambilan buruh yang menyaksikan beribu-ribu pekerja kerugian wang mereka; dakwaan yang dinafikan penglibatan oleh syarikat Malaysia.

Selepas itu, Nepal dan Malaysia membuat perjanjian, dan Kulasegaran mengumumkan perjanjian dua hala kepada wartawan di Parlimen. Aturan itu membenarkan kemasukan pekerja Nepal, termasuk pembantu rumah.

Kang berkata perjanjian baru itu adalah tersasar dari amalan biasa untuk pekerja menanggung kos latihan dan yuran, manakala majikan Malaysia hanya bertanggungjawab untuk tiket penerbangan dan penginapan dan kos lain untuk ditolak dari gaji mereka.

Beliau berkata walaupun Putrajaya telah menghapuskan penggunaan orang tengah dalam pengambilan pekerja, perkara sama tidak boleh dikatakan untuk rakyat Malaysia yang mencari tenaga kerja.

“Majikan masih perlu melalui agensi Nepal untuk mencari pekerja asing yang sesuai, atau pergi ke Nepal untuk menemuduga, menyerahkan senarai pekerja ke kedutaan untuk persetujuan, mengatur pemeriksaan perubatan dan keselamatan, barulah mengatur ketibaan mereka ke Malaysia,” kata Kang.

Bagaimanapun, katanya, PKS secara umumnya mengalu-alukan penghapusan orang tengah untuk membanteras rasuah.

“Kerajaan sebelumnya memerlukan majikan memohon pekerja di 10 agensi terpilih, dengan bayaran permohonan yang tinggi untuk setiap pekerja,” kata Kang.

Ketika ditanya, Kulasegaran memberitahu The Malaysian Insight dalam satu mesej ringkas bahawa, “Perjanjian itu adalah sejajar dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.”

“Piawaian ini telah dibangunkan dan dilaksanakan di banyak negara.”

Menurut statistik dari Kementerian Sumber Manusia, terdapat 1,892,247 pekerja asing yang sah di Malaysia, dengan 358,211 daripadanya adalah pekerja Nepal. Daripada jumlah ini, seramai 26,752 orang bekerja di sektor perkilangan, diikuti perkhidmatan (75,695), perladangan (23,111), pertanian (10,296) dan pembinaan (8,300). – 8 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen