.jpg)
DR Wee Ka Siong mendapat sokongan sepenuhnya daripada perwakilan MCA yang merangkumi pemimpin-pemimpin akar umbi kali ini yang melibatkan perwakilan diperingkat bahagian.
Rata-rata memilih Wee dan pasukannya atas kematangan pendekatan politiknya yang “realist” di mana Wee berhujah secara realitik dan bukannya polemik berbanding lawannya Gan Ping Sieu yang berlandaskan kempennya untuk memaksa MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) dengan serta-merta tanpa menimbang setiakawan, silatulrahim dan pendekatan secara politik dan diplomatik.
Inilah bezanya kepimpinan Wee yang juga petah berhujah serta pakar berbahasa dalam “tri-lingual”.
Barisan kepimpinan Wee terdiri daripada Wee yang juga seorang doktorate kejuruteraan, timbalannya Dr Mah Hang Soon yang merupakan seorang pakar doktor jantung.
Dalam pasukan naib presidennya ada dua orang peguam termasuk saya, dan seorang akauntan serta profesional lain dalam barisannya.
Inilah julung kalinya kepimpinan MCA terdiri daripada golongan profesionalisme dan pakar, dan bukannya “towkay-towkay” sebelum ini.
“Towkay-towkay” sudah lari daripada MCA kerana takut kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mungkin menjadikan mereka mangsa.
Malahan kita ada seorang pakar yang diberhentikan kerja semata-mata kerana afiliasi beliau dengan parti.
Gaji beliau sebelum ini mencecah berpuluh ribu sebulan tetapi beliau enggan berganjak meninggalkan MCA walaupun diberi amaran.
Barisan kepimpinan MCA baharu ini akan menyusun langkah secara teliti dalam perancangan untuk menggembalikan sokongan pengundi termasuk “to draw a line” dengan pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN yang mungkin lari atau terpesong daripada perjuangan dan nilai asas penubuhan BN pada asalnya.
BN bukanlah ditubuhkan untuk memperkasakan Umno, tetapi matlamatnya adalah untuk memupuk perpaduan dan hubungan erat semua lapisan rakyak Malaysia serta mentadbir secara saksama ke arah kesejahteraan dan keharmonian bangsa Malaysia.
Selain itu, MCA akan memberi peluang kerajaan PH untuk mentadbir.
Buat masa ini kita akan membuat teguran dalam memainkan peranan kami sebagai parti pembangkang.
Namun, kita tidak akan membuat provokasi perkauman atau membakar api kebencian terhadap pemimpin Melayu seperti yang diamalkan DAP sebelum ini semata-mata untuk mendapat undi masyarakat Cina.
MCA walaupun sebuah parti mewakili suara masyarakat Cina akan tetap pegang pada susun-atur perlembagaan dan semangat Rukun Negara. – 7 November, 2018.
* Ti Lian Ker adalah naib presiden MCA.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen