Mujahid sahkan kes edar Bible di depan sekolah di Bukit Mertajam


Perkara itu masih disiasat oleh pihak berkuasa agama untuk memastikan apakah ada pelanggaran undang-undang melibatkan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam, kata Menteri Mujahid Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

MENTERI agama Mujahid Yusof mengesahkan ada kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor Bernama.

Katanya, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp); Jabatan Pendidikan negeri serta ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan, selepas kes itu tersebar.

Beliau bagaimanapun mengingatkan perkara itu masih disiasat oleh pihak berkuasa agama untuk memastikan apakah ada pelanggaran undang-undang melibatkan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

“Daripada maklumat yang kami dapat, ia memang berlaku perkara tersebut, cuma isunya ialah masih lagi kita melihat, sama ada kesalahan mengedarkannya itu kepada orang Islam,” katanya seperti dipetik Bernama.

“Ini kerana Artikel 11 (4) jelas menyebut agama lain bebas mengamalkan tetapi tidak boleh didakwahkan dan dipromosikan,” tambahnya.

Menurut Mujahid, pihak yang menyebarkan kitab Bible itu dikesan bukan dari pihak Kristian atau gereja di Bukit Mertajam, sebaliknya wakil sebuah pertubuhan masyarakat.

Katanya, beliau sudah meminta badan itu agar tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada masyarakat. Beliau juga mahu perkara itu diselesaikan dan tidak mencetuskan kebencian dalam masyarakat.

Sementara itu, Utusan Online memetik Mujahid berkata perkara itu sekarang dalam siasatan pihak polis.

“Apa yang saya tahu, ia berada dalam pengetahuan pihak polis,” katanya, seperti dipetik Utusan. – 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen