Misi PBB di Mali diserang, sembilan terbunuh


Misi keamanan PBB di Mali seringkali diserang militan sejak ia memulakan operasi pada 2013. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2017.

MILITAN bersenjata menyerang dua pangkalan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali pada Isnin, membunuh seorang pengaman, seorang kontraktor dan tujuh rakyat Mali, kata PBB dalam serangan terbaru ke atas organisasi dunia itu.

Seorang pengaman Togo dan seorang tentera Mali terbunuh dalam serangan awal pagi di Douentza, di tengah kawasan Mopti menurut kenyataan yang dikeluarkan Misi PBB di negara itu, dikenali sebagai Minusma.

Beberapa jam kemudian, enam lelaki menggunakan senapang dan bom tangan pula menyerbu Kem Misi PBB di Timbuktu, di utara Mali, kata PBB dalam kenyataan berasingan.

Mereka melepaskan tembakan kepada pengawal keselamatan PBB Mali, membunuh lima orang serta seorang anggota polis dan kontraktor awam yang kewarganegaraan masih tidak didedahkan, kata PBB lagi.

Serangan itu turut menyebabkan dua militan dibunuh dalam serangan Douentza dan enam lagi militan terbunuh di Timbuktu.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengecam serangan itu dan mengatakan serangan ke atas pasukan pengaman PBB “boleh ditakrfikan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa”.

Majlis Keselamatan PBB menggesa Mali menyiasat kejadian itu dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Serangan buruk itu juga menyebabkan PBB bergelut bagi menjamin keselamatan anggota pengaman organisasi dunia itu dalam misi keamanan di Mali yang kini dianggap terburuk pernah dilakukan PBB.

Sejak 2013, misi PBB dikenali sebagai Minusma di Mali seringkali menjadi sasaran militan yang berleluasa di utara dan tengah Mali. Misi itu juga dicengkam kesukaran operasi termasuklah kekurangan helikopter dan dakwaan berlakunya penderaan kepada rakyat tempatan. – AFP, 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen