CHINA memberi amaran yang negara itu “tidak akan berdiam diri” sekiranya Amerika Syarikat melakukan tindakan yang menjejaskan ikatan perdagangan dua negara itu selepas Presiden Donald Trump melancarkan siasatan ke atas amalan hak cipta intelek Beijing.
Kementerian Perdagangan China mengeluarkan kenyataan menyuarakan “kebimbangan serius” dan amaran kepada apa sahaja tindakan AS yang cuba melindungi perdagangan dua negara itu, mengatakan “ia pasti menjejaskan hubungan perdagangan bilateral.”
Kenyataan itu yang diterbitkan di laman sesawang rasmi kementerian turut menambah yang Beijing “akan mengambil tindakan bersesuaian bagi mempertahankan hak dan kepentingan China.”
Pada Isnin lalu, Trump menandatangani memorandum mengarahkan Wakil Perdagagangan AS Robert Lighthizer untuk menentukan sama ada dasar China menjejaskan kepentingan pelabur atau syarikat AS- dan tindakan yang bakal dilakukan sekiranya perkara itu terbukti benar.
Trump menegaskan yang “Washington tidak akan lagi menutup mata” kepada “perompak” yang mencuri rahsia industri AS dari Beijing- satu kebimbangan yang sudah lama timbul dalam kalangan syarikat besar asing yang mahu menembusi pasaran China.
Siasatan itu diarahkan selepas hubungan AS-China sudahpun terjejas kerana isu Korea Utara, dan Trump pada minggu lepas mencadangkan yang dia akan melembutkan pendiriannya dalam isu perdagangan sekiranya Beijing membantu meredakan kekecohan yang ditimbulkan negara jiran kuasa nuklearnya itu. – AFP, 15 Ogos, 2017.
Komen