Tiada peruntukan tanah adat Sarawak kerana bukan bidang kuasa, kata menteri


Desmond Davidson

Menteri Kerja Raya Baru Bian menjawab kecaman Sarawak kerana Putrajaya tak beri peruntukan untuk kajian pemetaan tanah adat (NCR) Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

MENTERI Kerja Raya Baru Bian berkata Putrajaya memutuskan untuk tidak memberi peruntukan dalam Belanjawan 2019 ke atas kajian tanah adat (NCR) Sarawak kerana perihal tanah tidak terletak di bawah kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan tidak ada hak dalam perkara tanah kita,” kata ahli Parlimen Selangau itu menjawab kritikan pemimpin Sarawak ke atas belanjawan kerajaan pusat.

Pada 2018, kerajaan Barisan Nasional memperuntukkan RM30 juta dalam belanjawan tahun itu untuk memetakan kawasan tanah adat yang dituntut suku kaum di Sarawak. Ia juga memberikan peruntukan sama dalam Belanjawan 2017.

Kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), ahli Parlimen dan Adun daripada pakatan pemerintah mengecam Putrajaya kerana tidak meneruskan peruntukan itu.

Baru berkata sebarang peruntukan kerajaan pusat untuk tujuan pemetaan perlu dianggap sebagai bonus.

“Tetapi melalui kritikan mereka yang cuba membayangkan kerajaan Pakatan Harapan tidak peduli tentang NCR dan tidak menganggapnya sebagai isu penting.”

Beliau menafikan perkara itu, menambah yang pengiktirafan NCR secara undang-undang adalah penting.

“NCR wujud sama ada berlaku kajian atau tidak. Kewujudannya tidak berlaku daripada kajian,” katanya.

Ketua Menteri Abang Johari Openg di Miri semalam berkata, memandangkan tiada peruntukan persekutuan untuk kajian pemetaan, kerajaan negeri akan memberikan dana.

Bagaimanapun, dalam pembentangan belanjawan negeri hari ini, jumlah peruntukan itu juga tidak dinyatakan.

Tetapi, Abang Johari mengatakan Timbalannya Douglas Uggah akan mengumumkan jumlah peruntukan dalam persidangan DUN nanti. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen