Selepas Musa Aman, tiada siapa yang dilindungi lagi


The Malaysian Insight

Dengan gaya yang berlainan daripada biasa -berjanggut dan bertongkat- Musa Aman hari ini muncul di mahkamah ekoran kes rasuah yang dituduh ke atasnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2018.

MUSA Aman yang tampil di mahkamah hari ini untuk berdepan dengan senarai panjang tuduhan rasuah seharusnya jadi isyarat jelas bahawa tiada siapa boleh terlepas daripada dakwaan jenayah tidak kira bila sekali pun ia dilakukan.

Bagi majoriti rakyat, tindakan terhadap seorang yang pada suatu masa sangat berkuasa di Sabah adalah petunjuk jelas bahawa pihak berkuasa sedia membuka kes-kes lama, termasuk sebelum pentadbiran Najib Razak.

Dengan melakukan itu, mereka menimbulkan persoalan kenapa pemimpin sebelum Najib dan pegawai kanan perundangan dan penguatkuasaan pada masa itu hampir tidak melakukan apa-apa untuk membongkar rasuah yang berlaku di depan mata.

Dalam hal ini, 35 pertuduhan yang dicampakkan kepada Musa didakwa berlaku antara 2004 hingga 2008.

Dia minta dibicarakan atas semua pertuduhan. Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dibayar dengan dua ansuran.

Pertuduhan yang dikaitkan dengan konsesi balak itu tidak mengejutkan banyak orang kerana selama bertahun-tahun rakyat sudah mendengar dan membaca tentang sogokan dan penjarahan hutan di Sabah dan Sarawak.

Selama bertahun-tahun, dakwaan itu ditepis oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional sebagai cakap kosong dan tidak perlu disiasat.

Tetapi sekarang nampaknya rakyat selama ini bercakap tentang sesuatu yang nyata dan berasas, sementara mereka yang duduk di puncak kuasa politik dan pejabat perundangan dan penguatkuasaan menutupnya.

Tindakan terhadap Musa membayangkan bahawa selimut sakti yang melindungi mereka yang berkuasa dan berpengaruh selama ini sudah terkoyak.

Ia juga menunjukkan bahawa pihak berkuasa sudah faham kerajaan Pakatan Harapan menghargai tindakan sebaliknya menghukum sikap sambil lewa atau pejam mata terhadap rasuah.

Untuk mendapatkan semula kredibilitinya, tindakan pembersihan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan Pejabat Peguam Negara mesti menjangkau semua urusan yang mencurigakan dan ahli politik sejak zaman Dr Mahathir sampai Najib.

Kalau itu berlaku, tiada siapa boleh menuduh kempen membersihkan negara ini sebagai operasi balas dendam terhadap Najib.

Masa yang sudah jauh berlalu bukan perlindungan bagi siapa-siapa. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen