Beri kami lebih masa, kata Guan Eng pada rakyat Malaysia di luar negara


Julia Yeow

Menteri Kewangan Lim Guan Eng merayu kepada rakyat Malaysia di luar negara supaya beri masa dan teruskan menyokong PH dalam pelaksanaan perubahan yang dijanjikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng merayu kepada rakyat Malaysia di luar negara supaya bersabar dengan Pakatan Harapan (PH) dan berjanji perubahan yang dijanjikan gabungan itu akan terlaksana dalam tempoh masanya.

Bercakap di depan kira-kira 400 rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, Lim berkata walaupun ramai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara selama berdekad meluahkan hasrat untuk kembali ke tanah air dengan kepakaran masing-masing, mereka kecewa kerana perubahan dasar berlaku secara perlahan.

“Beri kami peluang untuk berubah. Kami perlukan masa, dan kami perlukan sokongan anda,” katanya dalam dialog selama dua jam itu.

Menjawab soalan tentang bagaimana cara PH untuk membina pentadbiran yang telus, Lim berkata mereka akan terus menentang rasuah, dan katanya menguatkuasakan undang-undang lebih kuat antara pilihan yang sedang dipertimbangkan.

“Di Singapura, undang-undangnya terhadap rasuah tegas, dan pelaksanaannya sangat bagus. Itu mungkin sesuatu yang kita boleh lakukan,” katanya.

Lim berkata ahli Parlimen kerajaan baharu akan mengisytiharkan senarai penuh aset mereka bagi membina ketelusan, tetapi sekali lagi meminta masa untuk melakukannya.

“Kami akan isytihar aset kami dan dedahkan. Hanya beri kami sedikit masa.

“Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini, jadi jika anda boleh tunggu 61 tahun, sudah tentu anda boleh beri kami sedikit lagi masa sekarang.”

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerbitkan satu laman web baharu untuk mempamerkan aset ahli parlimen. Namun, agensi anti rasuah itu dikritik kerana katanya tidak konsisten dengan angka dalam laman web itu.

SPRM berkata ia menunggu kata putus daripada menteri undang-undang Liew Vui Keong sebelum menyiarkan senarai penuh aset.

Terdahulu, Lim di hadapan khalayak itu berkata kerajaan baharu sangat berminat untuk menerima nasihat itu dan menggesa pelajar Malaysia di Singapura supaya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian.

“Kerajaan kini bekerjasama dengan sektor swasta, jadi kami berharap akan wujud persaingan lebih hebat dan skala gaji lebih tinggi pada masa depan.

Berjuta rakyat Malaysia pada masa ini menetap atau bekerja di Singapura, sementara 400,000 yang lain berulang-alik menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja.

Lim mengakui kerajaan Singapura sangat bagus dalam bukan saja mengekalkan bakatnya, tetapi juga menarik rakyat Malaysia berbakat ke sana.

“Saya tahu di sini selesa, gajinya lebih tinggi. Tetapi saya minta anda pertimbangkan untuk kembali ke tanah air di mana anda boleh berbakti kepada negara.

“Saya datang hari ini untuk meminta sokongan berterusan daripada anda.

“Bersama, kita boleh bina Malaysia baharu yang akan kita banggakan nanti.” – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen