Dedah rangkaian global 1MDB jadi agenda utama Sarawak Report


Julia Yeow

Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown berkata fokus blog itu sekarang ialah mendedahkan rangkaian global 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

FOKUS Sarawak Report sekarang ialah mendedahkan rangkaian global 1MDB bagi lebih memahamkan rakyat apa yang membantu kleptokrasi, kata pengarang blog pemberi maklumat itu, Claire Rewcastle-Brown .

Rewcastle-Brown, salah seorang yang giat menulis tentang syarikat pelaburan Malaysia yang sarat hutang itu berkata beliau akan fokus kepada meluaskan spektrum skandal dicetuskan oleh penipuan kewangan 1MDB.

“Moral terbesar daripada semua ini ialah apa yang berlaku di Malaysia, ahli politik tempatan rasuah dalam satu negara, dibantu oleh institusi global utama dan keseluruhan sistem kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dan itu salah. Kita perlu tangani itu, supaya orang seperti bekas perdana menteri Najib Razak yang terlepas di negara seluruh dunia, tidak sepatutnya dibantu oleh bank-bank utama dan keseluruhannya,” kata penulis kelahiran Sarawak itu.

Skandal 1MDB itu pada masa ini sedang disiasat di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.

Pendakwa raya AS minggu lalu mendedahkan pendakwaan jenayah terhadap dua pegawai bank Goldman Sachs dan ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam pelarian, Low Taek Jho kerana didakwa bersubahat dalam melakukan pengubahan wang haram dari 1MDB.

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown berkata saga 1MDB masih belum berakhir, dan memberi amaran bahawa semua pihak yang terbabit dalam rasuah itu akan terdedah tidak lama lagi.

“1MDB bukan skandal Malaysia, tetapi skandal global.

“Dan mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat ialah saga 1MDB belum berakhir, ia akan jadi lebih besar.”

Berbalik kepada usahanya mendedahkan skandal itu, Rewcastle-Brown berkata situasi di Malaysia akan “tiada harapan” jika Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), di mana beliau mungkin perlu menghentikan pendedahan siasatannya.

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 38 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 1MDB dan syarikat sekutunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

Katanya, jika Najib menang pilihan raya itu, beliau akan menggunakan sepenuh kuasanya dalam kerajaan untuk memastikan tidak akan terbabit secara undang-undang dalam penyelewengan berbilion ringgit menerusi 1MDB.

“Saya fikir PRU14 pembersihan untuk semua kerana keadaan tentu sangat mengerikan jika Najib menang.

“Ia tentu akan menjadi perkembangan tanpa harapan kerana beliau akan menyekatnya, beliau akan cuba melindungi diri sendiri.

“Dan saya tidak tahu sama ada saya dapat terus mencuba jika beliau menang pilihan raya.”

Sama seperti kempen dan aktivis lain, Rewcastle-Brown tahu bagaimana risikonya dalam pilihan raya.

“Saya fikir semua orang berfikiran yang sama, semua orang tahu betapa bahaya situasi, dan itu sebabnya mereka berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi menghentikannya.”

Rewcastle-Brown berkata walaupun keputusan PRU14 mengejutkan ramai orang, beliau akui selalu positif yang rakyat Malaysia satu hari nanti akan berjaya menolak kerajaan BN.

“Saya dapat lihat banyak tenaga dan kesungguhan dalam kalangan rakyat yang mahu melihat perubahan, dan saya katakan anda mampu lakukannya.

“Saya betul-betul gembira kerana saya betul.”

BN kalah dan hilang kuasa kerajaan buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun pada 9 Mei lalu. Tidak lama selepas dilantik sebagai perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan dibuat terhadap Najib dan beberapa individu dekat dengannya, membabitkan penyelewengan dana daripada 1MDB.

Najib pada masa ini berdepan 38 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 1MDB dan syarikat sekutunya.

Najib mengaku tidak bersalah. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen