PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-Un sudah memberi taklimat tentang rancangan melancarkan peluru berpandu berhampiran Guam tetapi membayangkan akan menangguhkan pelancaran itu, lapor media Pyongyang hari ini.
Kim “meneliti rancangan itu sejak sekian lama” dan “membincangkannya” dengan pegawai pemerintah semalam semasa pemeriksaannya terhadap Pasukan Strategik yang bertanggungjawab ke atas unit peluru berpandu negara itu, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Bagaimanapun, Kim memberi isyarat akan menangguhkan rancangan melancarkan peluru berpandu itu, dengan mengatakan akan memerhatikan tindak balas daripada Amerika Syarikat terlebih dahulu.
“Untuk meredakan ketegangan dan menghalang konflik ketenteraan berbahaya di Semenanjung Korea, AS perlu membuat pilihan yang tepat terlebih dahulu dan menunjukkannya melalui tindakan, kerana ia melakukan provokasi setelah membawa peralatan strategik nuklear yang besar ke sekitar Semenanjung,” kata beliau sebagaimana dilaporkan KCNA.
Kim turut menggesa AS menghentikan provokasi angkuhnya terhadap Korea Utara. – AFP, 15 Ogos, 2017.
Komen