Penggiat sudah tiada, baru Kelantan mahu hidupkan budaya


SM Amin

Di Kelantan, politik keagamaan menyebabkan banyak seni tradisi seperti wayang kulit, mak yong, menora diharamkan, kerugian kepada warisan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

SETIAP malam selepas selesai solat Isyak, Azwan Abdullah akan ke warung kopi di tepi Jeti Kok Majid di Tumpat untuk bermain dam haji bersama rakan-rakan sekampungnya yang lain.

Bagi Azwan dan kawan-kawan di Kampung Kok Majid yang terletak hanya 15 km dari Kota Bharu, itulah antara aktiviti yang ada untuk hiburan mereka.

“Ini hiburan kami bila petang lepas balik kerja; malam lepas Isyak sambung lagi. Tok bilal pun main sekali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dua tahun selepas PAS mengambil alih Kelantan pada tahun 1990, kerajaan negeri “menyusun” semula acara kesenian, kebudayaan dan hiburan termasuk yang melibatkan persembahan tradisional seperti mak yong, menora dan wayang kulit dan dikir barat di negeri ini agar tidak bercanggah dengan Islam.

Larangan itu kemudiannya diwartakan dalam Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang menyenaraikan mak yong sebagai jenis hiburan yang dilarang, bersama menora, wayang kulit (tradisional), main puteri, tinju siam dan laga binatang.

Wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Karima Bennoune ketika melawat Malaysia tahun lalu menggesa kerajaan Kelantan menarik balik larangan persembahan terbuka mak yong dan lain-lain bentuk seni tradisional Melayu.

Pelapor Khas PBB dalam bidang hak budaya itu berkata kesenian yang kaya dengan tradisi sebaliknya perlu diraikan dan dihargai kerana ia antara seni pentas yang tertua di dunia.

Penduduk Kampung Kok Majid, Tumpat, Kelantan menghabiskan malam mereka bermain dam aji selepas tiada lagi hiburan malam tradisi yang diharamkan kerajaan agama PAS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 November, 2018.

Azwan, 42, melihat larangan kerajaan PAS menyebabkan kebudayaan warisan makin hanyut ditelan zaman. Usaha kerajaan negeri cuba menggalakkannya sekarang pula dilihat sudah terlalu lewat kerana kesenian itu semakin pupus, katanya.

“Masa kecil-kecil dulu saya sempat tengok wayang kulit, mak yong. Sekarang ini susah hendak tengok, boleh kata tidak ada,” jelas beliau, yang bekerja kampung tetapi pernah jadi juara pertandingan dikir barat dan pernah juga menerbitkan album dikir barat.

Azwan Abdullah (kiri) merasakan larangan kerajaan Kelantan terhadap persembahan tradisi satu kerugian kepada warisan negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 November, 2018.

Setelah larangan 26 tahun lalu, kerajaan PAS kini cuba menghidupkan semula seni budaya tradisi antaranya dengan mewujudkan Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat.

“Tempat ini akan jadi tumpuan pelancong. Kerajaan negeri baru hendak hidupkan semula budaya lama orang Kelantan.

“Masjid Kampung Laut pun nak dibawa balik ke sini,” katanya, merujuk kepada masjid kayu binaan kurun ke-18 yang dipindahkan ke Nilam Puri selepas banjir besar 1966.

Selain membawa semula masjid itu ke kampung asalnya, Kampung Warisan itu akan menghidupkan seni persembahan serta makanan tradisi istimewa Kelantan seperti serunding dan dodol.

Wayang kulit antara kesenian tradisi yang dilarang dipersembahkan di Kelantan. – Gambar EPA, 4 November, 2018.

Projek kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu dijangka menelan belanja RM30 juta, termasuk pampasan pengambilan tanah penduduk terlibat.

Azwan bagaimanapun tidak yakin kerajaan PAS boleh menghidupkan semula seni tradisional seperti mak yong, wayang kulit dan main puteri yang disekatnya 26 tahun dulu kerana penggiatnya hampir sudah tiada manakala generasi baru hampir langsung tidak mengenalinya.

“Ramai orang berseloroh kalau orang Kelantan hendak tengok mak yong, kena pergi KL… sini tidak ada, susah hendak jumpa. Pemain lama ramai yang sudah tidak ada,” katanya.

Tetapi tidak semua orang berpandangan seperti Azwan, terutama mereka yang lebih merasakan hal-hal seni dan budaya ini bukan perkara yang berfaedah, tidak bermanfaat dan “menyebabkan masyarakat lupa agama”.

Mak yong antara kesenian negara yang diangkat Unesco sebagai Warisan Dunia malangnya terpinggir di Kelantan dan Terengganu. – Gambar ihsan Pusaka, 4 November, 2018.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmud, 77, berkata masjid dan surau akan kosong kalau kebudayaan seperti mak yong, wayang kulit dan dikir barat dibiarkan tanpa sebarang pengawalan oleh kerajaan negeri.

“Kalau saya suka tengok mak yong dan wayang kulit, saya sudah tidak tunggu untuk solat Isyak berjemaah kerana kalut hendak pergi tengok mak yong, wayang kulit itu. Kita tidak mahu jadi macam itu… pergi tengok mak yong sampai lewat malam, sampai solat subuh pun terlepas.

“Islam tidak boleh mundur. Budaya boleh mundur kerana tidak ada dalam hadis atau Quran.

“Kita kena pegang agama. Islam ini milik tuhan, kita tidak boleh mundurkan. Agama perlu diutamakan. Budaya ini ikut kesesuaian,” katanya. – 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen