Twitter padam akaun palsu sebar maklumat salah


Twitter mula bertindak mengekang akaun palsu yang mempengaruhi wacana awam selepas campur tangan Rusia dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 2016. – Gambar EPA, 4 November, 2018.

TWITTER semalam berkata ia memadamkan “beberapa akaun” yang cuba berkongsi maklumat palsu menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat ketika media melaporkan ribuan akaun dipadamkan.

Syarikat media sosial itu “memadamkan siri akaun yang cuba berkongsi maklumat salah secara automatik-pelanggaran dasar kami,” katanya kepada AFP tanpa memberikan jumlah sebenar akaun yang terkesan.

Twitter berkata ia sudah mewujudkan “saluran terbuka komunikasi” untuk pegawai pilihan raya negeri, pegawai kempen Republikan dan Demokrat, dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Laporan menyebut akaun tersebut menyamar sebagai ahli parti Demokrat, memuatnaik status menggalakkan pengundi supaya tidak keluar mengundi Selasa depan.

CNN berkata Jawatankuasa Kempen Kongres Demokrat memberi amaran kepada Twitter mengenai akaun tersebut, yang dipadamkan sejak hujung September hingga awal Oktober.

Berbulan lamanya, Twitter berusaha menghapuskan akaun palsu yang dicipta untuk memanipulasi wadah awam menerusi platformnya, tindak balas kepada campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.

Pada Oktober, syarikat itu mendedahkan jumlah pelangganya berkurangan sebanyak sembilan juta kerana usaha tersebut.

Presiden AS Donald Trump baru-baru ini merungut yang Twitter memadamkan sebilangan akaun yang mengikutnya. – AFP, 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen