SEORANG lelaki bersenjata menembak mati dua orang dan mencederakan lima yang lain di sebuah studio yoga di Tallahassee, Florida sebelum membunuh diri, kata polis semalam.
Sekitar jam 5:47 petang Jumaat, Scott Beierle, 40, “memasuki premis itu menyamar sebagai pelanggan dan mula menembak semua orang dengan sepucuk pistol tanpa amaran,” kata Jabatan Polis Tallahassee dalam satu kenyataan.
“Pekerja kemudian melawan penyerang untuk menghalangnya daripada terus mencederakan orang lain. Penyerang kemudiannya menembak diri sendiri dan mati di tempat kejadian kerana luka tembakan.”
Kenyataan menyebut, dua orang wanita, Nancy Van Vessem, 61, dan Maura Binkley, 21, terbunuh. Dua lagi wanita dalam “keadaan stabil” sementara dua wanita dan seorang lelaki dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan keluar daripada hospital.
Beierle, graduan Florida State University dan pernah berkhidmat sebagai tentera mempunyai rekod polis kerana pernah menganggu wanita muda, menurut kenyataan lagi.
Siasatan sedang dijalankan dan polis masih belum mengenalpasti hubungan antara penyerang dengan mangsa dan premis yoga itu.
Menurut BuzzFeed, penyerang pernah memuatnaik videonya memberikan ucapan perkauman dan menghina kaum wanita di YouTube. – AFP, 4 November, 2018.
Komen