KEDUDUKAN Ahmad Zahid Hamidi sama ada perlu bercuti atau tidak daripada jawatannya sebagai presiden Umno dijangka akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadualkan pada 9 November ini.
Kedudukan ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang juga ketua pembangkang di Parlimen, dipersoalkan oleh sayap Pemuda Umno sendiri selepas beliau dihadapkan dengan berpuluh-puluh tuduhan jenayah di mahkamah.
Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno sudah memberi jaminan kepada sayap Pemuda akan menyuarakan cadangan pergerakan itu yang meminta Zahid “berehat” sehingga kes mahkamahnya selesai.
Ahli Majlis Tertinggi Umno yang pernah jadi menteri kabinet itu memberikan jaminan tersebut semasa permukiman Pemuda Umno di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
“Rakyat hendak melihat peranan Pemuda untuk memimpin Umno,” katanya dalam rakaman ucapan yang didengar oleh The Malaysian Insight.
“Adakah (Pemuda Umno) akan terus jadi yes man (sehingga) ada kesilapan pemimpin pun tidak mahu tegur?” tanyanya, disambut laungan “tidak” oleh pimpinan sayap yang hadir dalam permukiman itu.
Ahli Majlis Tertinggi itu berkata, sekiranya tiada perubahan sikap dalam parti Melayu yang pernah jadi kerajaan selama enam dekad itu, sampai bila-bila pun Umno tidak akan bangkit semula selepas hilang kuasa dalam pilihan raya Mei lalu.
“Saya beri jaminan akan bawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, jika ini yang dimahukan oleh Pemuda,” katanya dalam rakaman ucapan itu.

Pergerakan Pemuda Umno dalam mesyuarat exconya pada 25 Oktober lalu sebulat suara mencadangkan Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga pertuduhan jenayah terhadapnya di mahkamah selesai.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini bagi membolehkan Zahid memberi tumpuan terhadap kes pertuduhannya di mahkamah. Cadangan itu bukannya berselindung sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan presiden Umno itu, katanya.
Zahid dalam reaksinya menegaskan beliau sama sekali tidak akan bercuti sebaliknya akan terus menggalas mandat memimpin Umno sebagai pembangkang.
“Mengalah bukan satu opsyen pada saya,” katanya kepada media selepas majlis taklimat tertutup bersama pimpinan Umno Terengganu di Kuala Terengganu, pada 26 Oktober lalu.
Zahid yang terpilih jadi presiden Umno akhir Jun lalu kini berhadapan 45 pertuduhan melibatkan 10 kes pecah amanah, lapan kes menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 kes aktiviti pengubahan wang haram.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akalbudi yang beliau pengerusikan serta beberapa keputusan semasa menjadi menteri dalam negeri ketika Barisan Nasional memerintah.

Menurut sumber ahli MT Umno itu, pimpinan tertinggi parti bercanggah pendapat sama ada Zahid perlu berehat seperti ketetapan yang dibuat oleh MT Umno pada 2009, dalam satu mesyuarat dipengerusikan Najib Razak.
“Ada pendapat mengatakan sekarang kita sudah jadi pembangkang dan kita perlu ikut cara pembangkang dulu, tidak perlu letak jawatan atau berehat jika ada kes mahkamah.
“Dulu kita kerajaan, jadi kalau ada sesiapa yang kena dakwa di mahkamah, kerajaan kita yang dakwa, sebab itu perlu letak jawatan.
“Kita kena fikir mana yang baik dan yang buruk. Rakyat sedang menilai Umno adakah parti ini akan menghentikan nilai-nilai yang baik, atau mengikut perangai pembangkang sebelum ini,” katanya.
Zahid hari ini meneruskan siri jelajahnya ke seluruh negara bertemu pimpinan Umno di akar umbi untuk menjelaskan kedudukan parti dan dirinya.
Semalam beliau ke Perlis dan Kedah manakala hari ini di Pulau Pinang.
Kedudukan Zahid dan Umno ini juga jadi perhatian ketika ada desas-desus 40 ahli Parlimen parti itu bersedia lompat parti dan menjadi sebahagian daripada penyokong kerajaan Pakatan Harapan.
Sebelum ini, lima ahli parlimen Umno sudah meninggalkan parti itu, termasuk bekas menteri Mustapa Mohamed yang minggu lalu menyertai Bersatu. – 4 November, 2018.
Komen