Abang Johari dedah timbalan menteri minta Sarawak mansuh autonomi imigresen


Desmond Davidson

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mendedahkan beliau menolak permintaan kerajaan Persekutuan yang mahu negeri itu mansuh autonomi ke atas imigresen.

Permintaan itu katanya dikemukakan oleh seorang timbalan menteri yang membuat kunjungan hormat terhadapnya di Kuching.

Abang Johari tidak mendedahkan nama timbalan menteri tersebut atau bilakah kunjungan hormat itu diadakan.

“Saya beritahu beliau, kami akan pertahankan hak kami,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuaarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) petang tadi.

“Beliau (timbalan menteri) kata sudah sampai masa untuk kami (Sarawak) berhenti kawal imigresen. Saya kata tak boleh.”

Perkara itu kemudian dibincangkan dalam mesyuarat PBB, katanya.

Autonomi Sarawak ke atas imigresen termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Imigresen 1959/63 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Abang Johari percaya permintaan itu dibuat susulan kerajaan negeri menghalang masuk seorang pemimpin selepas mendarat di Sibu.

“Pemimpin itu berada dalam senarai ‘blacklist’ negeri, dan seorang ‘pentaksub’,” katanya, tanpa memberikan nama dan sebab larangan dikenakan.

“Kami ada senarai, dan kalau mereka berada dalam senarai, mereka akan dihalang (masuk Sarawak).

“Kami tahu latar belakang mereka dan apa yang mereka telah buat. Kami tak mahu ektremis masuk Sarawak dan menjejaskan keamanan serta keharmonian negeri.”

Ketua menteri itu juga berkata autonomi imigresen perlu bagi mengelakkan kemasukan golongan profesional dari Semenanjung.

“Ini saja perlindungan yang Sarawak ada. Saya sudah berjumpa dengan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS), mereka juga berpandangan yang ini bukan masa yang tepat membuka pasaran profesion undang-undang.”

Pengerusi AAS Kuching, Sarbjit Singh Khaira pada 26 Oktober berkata Perdaftar Pertubuhan telah mengenakan syarat ke atas permohonan AAS untuk menjadi sebuah badan berkanun - iaitu bersetuju untuk memberi akses tanpa pengecualian kepada peguam-peguam dari Semenanjung yang mahu bekerja di negeri itu. – 3 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen