BEKAS perdana menteri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan menubuhkan parti baharu serta akan kekal dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).
Najib berkata kejatuhan BN dalam Pilihan Raya Raya Ke-14 (PRU14) lalu adalah disebabkan fitnah yang dimomokkan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Darah daging saya Umno dan BN. Kalau rendam saya dalam air, angkat 10 kali pun saya tetap dengan Umno dan BN.
“Saya tidak bercadang untuk buka parti baru.
“Kita kalah kerana fitnah dan janji palsu. Kalau ada blank field (pertandingan di lapangan terbuka) saya yakin kita menang,” kata Najib di hadapan hampir 2,000 penyokong beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada hadirin pada sesi “Sembang Santai Bersama Najib Razak” bersama penyokong di laman sosial beliau hari ini.
Turut hadir dalam program di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu ialah isterinya Rosmah Mansor, Lokman Noor Adam, Tun Faisal dan beberapa pemimpin Umno yang lain.
Menurut Najib, berdasarkan komen-komen yang diterima di Facebook, beliau dapati terlalu ramai yang rasa menyesal memberi undi kepada PH pada pilihan raya 9 Mei lalu.

“Komen di Facebook saya baca. Ada yang kata minta maaf sebab undi PH kerana telah dihasut oleh mereka. Hari ini lepas tahu kebenarannya mereka menyesal.
“Mereka tidak nampak kebaikan Umno-BN sebelum ini. Mereka fikir apa yang kita (BN) buat akan terus kekal dan PH akan tambah. Tetapi lepas 9 Mei baru mereka sedar,” katanya.
Apabila ditanya mengenai pandangan beliau mengenai pimpinan Umno yang mahu meninggalkan parti, Najib menyifatkan mereka tidak tahan dengan tekanan yang diberikan oleh kerajaan PH.
“Saya tidak tahu nak kata dengan pemimpin Umno yang tidak setia. Selamat tinggallah kamu.
“Kita akan terus berjuang dengan orang yang setia kepada Umno. Dulu masa susah, tiada peruntukan, hendak jadi calon, cari siapa? Kenanglah.
“Mana dia nilai sayang, budi, setia kawan? Saya tidak mahu sebut nama tetapi inilah prinsipnya,” ujarnya.
Tambah Najib, peletakan jawatan beliau selepas kekalahan BN dalam PRU14 merupakan tanggungjawab moral yang perlu diambilnya sebagai presiden Umno.
“Saya letak jawatan kerana itu tanggungjawab moral saya. Bila kalah ketua kena letak jawatan.
“Walaupun bukan semua disebabkan salah ketua, banyak yang di bawah ini pun tidak betul, ketua kena terima tanggungjawab,” ujarnya. – 3 November, 2018.
Komen