Nothing to Hide 2.0: Tuduhan Azmin tidak berasas


UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor mengutuk tuduhan tidak berasas Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali kononnya Perdana Menteri Najib Razak perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan jenayah ekoran kekecohan yang berlaku pada forum “Nothing To Hide 2.0” semalam.

Atas dasar dan bukti apa tuduhan berkenaan dilontar kepada perdana menteri yang tidak menyatakan komitmen pun sebelum ini untuk menghadiri forum anjuran sayap Pemuda Bersatu berkenaan?

Justeru, Umno dan BN Selangor melihat tuduhan terdesak oleh timbalan presiden PKR itu bagi menutup lompang yang sememangnya wujud dalam Pakatan Harapan selama ini. 

Umum mengetahui sejak Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berdamping dengan bekas seteru politiknya iaitu Anwar Ibrahim, ramai penyokong pembangkang termasuk mereka yang menyokong gerakan Reformasi sebelum ini tidak merestui keputusan yang dicapai untuk berdamai dengan Dr Mahathir.

Bagi mereka, tindakan Dr Mahathir yang cuba membunuh karier politik Anwar sebelum ini tidak boleh dimaafkan sehingga menggelarkan veteran politik itu dengan pelbagai gelaran seperti “Mahafiraun” dan “Mahazalim”.

Di sini, penganjur harus dipersalahkan kerana berkompromi dengan aspek keselamatan semua pihak yang menghadiri forum berkenaan. 

Bagaimana suar api boleh dibawa masuk ke dalam dewan? Mengapa perjalanan forum termasuk ketika sesi soal jawab tidak dikawal dan kelihatan insiden terpekik, terjerit dan beremosi mengambil tempat?

Adakah mungkin insiden berkenaan sengaja direka atau ia merupakan lakonan bagi memburukkan parti lawan mereka selain adakah provokasi seumpamanya bagi menutup gambaran sebenar kegagalan forum berkenaan yang jelas banyak soalan yang dikemukakan peserta tidak dijawab sepenuhnya.

Walaupun Umno dan BN Selangor menolak sebarang bentuk keganasan selain menyokong penuh hak mengamalkan demokrasi, namun tindakan pemimpin pembangkang yang sering menuding jari mencari salah orang lain ketika berdepan isu yang memakan diri mereka dikutuk sekeras-kerasnya.

Umno dan BN Selangor akan terus melakukan politik matang dan percaya kebenaran akhirnya akan muncul di sebalik fitnah dan tohmahan yang dilempar. – 14 Ogos, 2017.

* Mat Nadzari Ahmad Dahlan adalah Timbalan Pengerusi Umno dan BN Selangor.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili   pendapat The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen