INISIATIF sifar sisa sampah dilancarkan bagi mengumpul bahan kitar semula dan sisa makanan dari 200 buah rumah di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.
Projek yang dijalankan persatuan penduduk TTDI itu, akan menggunakan aplikasi perkhidmatan e-hailing untuk perkhidmatan pelupusan barangan kitar semula.
“Sistem ini sama dengan Uber di mana seseorang akan datang dan mengambil ‘sampah kering’ atau barangan kitar semula,” kata Tan Ching Seong, lelaki yang menjadi tulang belakang inisiatif sisa sifar.
Aplikasi ini diwujudkan untuk memberi ganjaran kepada pengguna menerusi insentif mudah berdasarkan saiz barangan yang dikitar semula oleh pengguna, dan jumlah sampah yang dipisahkan kepada bahan kitar semula dan sisa makanan, kata Tan.
“Tidak seorang pun boleh mencapai sifar sisa sampah secara mutlak, oleh itu sifar sisa sebenarnya bersamaan dengan jumlah sebenar 1.7 kg sisa sampah setiap orang setiap bulan.” katanya kepada The Malaysian Insight selepas pelancaran inisiatif pagi ini.
Sementara itu, penganjur persatuan penduduk TTDI, Koo Zhao Phin berkata, sisa makanan yang terpusat, boleh menjadi baja.
“Semasa fasa percubaan kami di Petaling Jaya, barangan makanan basah telah dibawa ke Edible Garden di TTDI kerana mereka boleh mengambil beratus-ratus kilogram sisa makanan dan kompos,” kata Koo.
Visi jangka panjang adalah untuk menghasilkan bio-gas dan menggunakan kompos untuk pertanian berskala besar, dan bukannya sistem pembuangan sampah yang besar dikambus, katanya.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang melancarkan inisiatif pagi ini, berkata ia merupakan platform yang hebat untuk pendidikan pengurusan sisa buangan.
“Tentang mendapat sokongan kerajaan, saya akan berbincang dengan DBKL dan Datuk Bandar untuk melihat bagaimana mereka boleh menyokong, tetapi pengurusan perlu dikekalkan dengan baik, terutamanya apabila ia berkembang ke skala besar,” kata Yeoh.
Beliau berkata DBKL sebelum ini membelanjakan RM425 juta untuk menguruskan kutipan sisa dan untuk membersihkan bandar, manakala 60% daripada penilaian Subang Jaya digunakan untuk pengumpulan sampah semasa beliau sebagai wakil negeri di sana.
“Ini tidak termasuk pembuangan haram di mana rakyat Malaysia mengitar semula perabot mereka di tepi jalan,” katanya.
“Jika kita mahu mula peruntukan wang di mana ia diperlukan (bukannya untuk mangambus sampah), ia sepatutnya untuk pendidikan (mengenai sisa).
“Kitar semula perlu kerja keras di dapur di rumah, tetapi saya gembira ada platform ini yang kemudiannya boleh diuji dengan penduduk di Desa Park City dan Mont Kiara.” kata Yeoh lagi. – 3 November, 2018.
Komen